MIRI, 12 November: Persoalan sama ada dua bekas anggota kumpulan G5, Datuk Rosey Yunus dan Dato Paulus Palu Gumbang, akan terus mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing bersama Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13 pastinya menarik perhatian pemerhati politik negeri ini.
Kedua-dua tokoh berkenaan mempunyai latar belakang politik yang tersendiri, khususnya perjalanan mereka ketika berhadapan kemelut dalaman Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP), yang kini dikenali sebagai Parti Demokratik Progresif (PDP), lebih sedekad lalu.
Masihkah rakyat Sarawak mengingati G5 atau Kumpulan Lima yang mula menjadi perhatian sekitar 2013?
G5 merujuk kepada lima bekas pemimpin SPDP yang tersingkir daripada parti susulan pergolakan dalaman kepimpinan ketika tempoh Pilihan Raya Umum Parlimen Malaysia Ke-13 (PRU13).
Datuk Dr Tiki Lafe tidak dicalonkan semula oleh Barisan Nasional (BN) sebagai calon bagi kerusi Parlimen Mas Gading pada PRU13, sebaliknya bertanding sebagai calon Bebas, namun tewas.
Kumpulan itu terdiri daripada Datuk Dr Tiki Lafe, bekas Ahli Parlimen Mas Gading, dua bekas ADUN iaitu Datuk Peter Nansian (Tasik Biru), Datuk Sylvester Entri Muran (Marudi) dan dua penyandang iaitu Dato Paulus Palu Gumbang (Batu Danau) dan Datuk Rosey Yunus (Bekenu).
Kemelut berkenaan bukan sahaja mencetuskan perpecahan dalam SPDP, malah turut membawa kepada perkembangan baharu landskap politik Sarawak apabila bekas Presiden SPDP, Tan Sri William Mawan Ikom, meninggalkan parti itu pada 2014 bersama kumpulan berkenaan sebelum menubuhkan Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS).
Bagaimanapun, usaha perdamaian antara kepimpinan SPDP dengan G5 yang pernah mendapat perhatian meluas media ketika itu tidak mencapai kejayaan.
Perjalanan politik beberapa tokoh terbabit kemudiannya menyaksikan perubahan apabila Tan Sri William Mawan, Datuk Rosey Yunus dan Dato Paulus Palu Gumbang menyertai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), komponen utama GPS.
Kini, Rosey (Bekenu) dan Paulus (Batu Danau), yang merupakan penyandang di kerusi masing-masing, berada di bawah naungan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Perkembangan itu sekali gus memperlihatkan perubahan besar perjalanan politik bekas anggota G5, daripada kemelut perpecahan parti kepada penyertaan dalam gabungan pemerintah negeri.
Menjelang PRN Sarawak ini, persoalan yang menjadi perhatian ialah sama ada kedua-dua bekas anggota G5 itu akan terus diberi kepercayaan untuk mempertahankan kerusi masing-masing atau berlaku perubahan dalam percaturan politik GPS.
Apa yang pasti, sejarah G5 kekal sebagai antara episod penting dalam landskap politik Sarawak, khususnya dalam perjalanan politik SPDP dan perkembangan parti-parti komponen yang membentuk gabungan politik negeri hari ini.
Oleh Adum Liu




