Tiga lelaki positif amphetamine, methamphetamine dalam operasi bersepadu di Bau

Facebook
WhatsApp
TIGA lelaki tempatan ditahan selepas didapati positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine dalam operasi bersepadu pencegahan jenayah di sekitar Kampung Buso dan Buan Buso, Bau, hari ini.

BAU, 12 November: Tiga lelaki berusia antara 24 hingga 39 tahun didapati positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine dalam operasi bersepadu pencegahan jenayah di sekitar Kampung Buso dan Buan Buso, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Bau, Supt Mohd Haide A Rahman berkata, ketiga-tiga lelaki itu ditahan menerusi Op Bersepadu Cegah Jenayah IPD Bau dan Op Kesan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Bil. 175/2026.

Menurutnya, ujian saringan awal air kencing yang dijalankan kira-kira 11.00 pagi mendapati kesemua suspek positif kedua-dua jenis dadah berkenaan.

Hasil soal siasat awal mendapati mereka mengaku kali terakhir mengambil dadah jenis syabu dua hari sebelum ditahan.

Ketiga-tiga suspek kemudian ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Tiada dadah atau barangan lain dirampas sepanjang operasi berkenaan.

Kesemua suspek kini ditahan di lokap Balai Polis Bau bagi membantu siasatan lanjut, manakala dua daripada mereka dijadualkan dituduh di Mahkamah Bau pada 13 November.

Oleh Connie Chieng