KUCHING, 12 November: Kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sarawak dalam melaksanakan lima siri Operasi Pembenihan Awan (OPA) sepanjang tahun ini mencerminkan komitmen bersama dalam memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi cuaca ekstrem serta menjamin kelestarian sumber air negeri.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, kejayaan pelaksanaan operasi itu adalah hasil kerjasama bersepadu pelbagai agensi yang menggembleng kepakaran, sumber dan tenaga bagi memastikan setiap operasi berjalan lancar.
Beliau merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan, kerajaan Sarawak serta semua jabatan dan agensi terlibat atas komitmen dan sumbangan mereka dalam menjayakan lima siri operasi berkenaan.
Menurutnya, pelaksanaan OPA memerlukan penyelarasan menyeluruh yang merangkumi kepakaran meteorologi, pemantauan radar cuaca, penyediaan pesawat dan kru penerbangan, keselamatan ruang udara, sokongan logistik serta pemantauan empangan dan bekalan air.
Antara agensi yang memainkan peranan penting ialah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Meteorologi (METMalaysia), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (CAAM), Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi (MUT), Sarawak Energy Berhad (SEB), Sarawak Water, Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB), Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan (UKPS) serta Angkatan Pertahanan Awam (APM).
“Setinggi-tinggi penghargaan saya rakamkan kepada semua agensi dan petugas yang terlibat. Sumbangan setiap pihak, sama ada dari aspek kepakaran teknikal, penyelarasan, logistik mahupun pelaksanaan operasi di darat dan udara, amat penting dalam menjayakan usaha ini,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata demikian ketika berucap pada Majlis Malam Penghargaan Operasi Pembenihan Awan 2026 anjuran SEB di sini, semalam.
Uggah berkata, pengalaman Sarawak berdepan cuaca panas dan masalah jerebu sepanjang tahun ini, termasuk keadaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang pernah melebihi paras 500, membuktikan kepentingan kesiapsiagaan berterusan serta tindakan terselaras antara semua agensi berkaitan.
Katanya, kemungkinan berlakunya fenomena El Niño pada masa hadapan juga perlu diberikan perhatian serius menerusi pemantauan berterusan dan pengukuhan keupayaan tindak balas bagi memastikan langkah sewajarnya dapat dilaksanakan dengan segera apabila diperlukan.
Beliau menegaskan bahawa operasi pembenihan awan perlu diteruskan sekiranya keadaan memerlukan, namun pelaksanaannya hendaklah mengambil kira keadaan cuaca dan kesesuaian atmosfera bagi memastikan keberkesanannya.
Uggah turut menyifatkan kerjasama antara agensi Persekutuan dan negeri itu sebagai manifestasi pendekatan menyeluruh kerajaan, yang menggabungkan kepakaran serta sumber pelbagai pihak dalam menangani cabaran pengurusan bencana.
Beliau berharap semangat kerjasama berkenaan terus diperkukuh bagi meningkatkan kesiapsiagaan Sarawak menghadapi risiko cuaca ekstrem pada masa hadapan.
Hadir sama ialah Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi; Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran), Datu Felicia Tan Ya Hua; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy, Dato Ruslan Abdul Ghani; Ketua Pengarah METMalaysia, Dr Mohd Hisham Mohd Anip serta Pengarah Bahagian Operasi NADMA, DCP Datuk Mazli Mazlan.
Oleh Adi Safarman





