BETONG, 11 November: Sebuah lori terbakar dalam kejadian di Jalan Lidong, pagi tadi, namun insiden berkenaan tidak melibatkan sebarang mangsa.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 7.10 pagi.
Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong tiba di lokasi pada 7.14 pagi dan mengesahkan berlaku kebakaran melibatkan sebuah lori.
Kejadian itu disedari ketika anggota bomba sedang dalam perjalanan untuk melaksanakan operasi menangani insiden pokok tumbang.
Menurut PGO JBPM Sarawak, operasi pemadaman dilakukan menggunakan satu saluran bantu mula air dari jentera bomba sehingga kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya.
Kebakaran berjaya dikawal pada 7.15 pagi, manakala operasi ditamatkan sepenuhnya pada 7.35 pagi.
Operasi diketuai Komander Operasi, PBK I Yusuf Tamin dengan kekuatan enam anggota menggunakan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah Emergency Medical Rescue Services (EMRS).
Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian berkenaan.
Oleh Adi Safarman





