Kebakaran musnahkan 80 peratus struktur rumah panjang di Kanowit

Facebook
WhatsApp
KEADAAN bahagian dalam Rumah Panjang Tuai Rumah Seliau, berhampiran SK Sungai Tuah, Kanowit, yang musnah dalam kebakaran awal pagi tadi. Foto PGO

KANOWIT, 9 November: Kira-kira 80 peratus struktur Rumah Panjang Tuai Rumah Seliau, berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Tuah, di sini musnah dalam kebakaran awal pagi tadi.

Kejadian pada 1.39 pagi itu melibatkan rumah panjang yang mempunyai 24 pintu, dengan hanya sebuah pintu berjaya diselamatkan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kanowit, dengan bantuan BBP Sibu Jaya, dikerahkan ke lokasi.

KEBAKARAN memusnahkan kira-kira 80 peratus struktur Rumah Panjang Tuai Rumah Seliau yang mempunyai 24 pintu dalam kejadian awal pagi tadi. Foto PGO

Menurutnya, pasukan bomba tiba di tempat kejadian pada 2.30 pagi, kira-kira 46 kilometer dari balai.

Kebakaran itu melibatkan keseluruhan 134 penghuni rumah panjang berkenaan, dengan sembilan dilaporkan mengalami kelecuran ringan.

Operasi pemadaman berjaya dikawal pada 3.53 pagi.

Maklumat lanjut berhubung kejadian itu akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Oleh Tarani Lanting