BETONG, 30 Oktober: Sebuah rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di Jalan Datuk Patinggi Udin, Kampung Tengah, Betong, musnah kira-kira 75 peratus dalam kejadian kebakaran malam ini.
Menurut maklumat Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 8.36 malam.
Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong tiba di lokasi dua minit kemudian, iaitu pada 8.38 malam, selepas menempuh jarak kira-kira dua kilometer dari balai.
Setibanya di lokasi, anggota bomba mengesahkan kebakaran melibatkan sebuah rumah PPRT berstruktur kekal satu tingkat.
Rumah berkenaan didiami empat sekeluarga dan pemeriksaan awal mendapati kira-kira 75 peratus daripada struktur kediaman itu telah terbakar.
Operasi pemadaman diketuai PBK I Abang Jamaldilhir Abang Mostafa dengan kekuatan sembilan anggota serta menggunakan sebuah jentera Bomba (FRT) dan sebuah kenderaan Perkhidmatan Bantuan Perubatan Kecemasan.
(EMRS).
Kebakaran berjaya dikawal pada 8.58 malam. Bagaimanapun, maklumat awal JBPM mengesahkan tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu, manakala Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut berada di lokasi bagi membantu urusan berkaitan.
Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih belum dimaklumkan.
Oleh Adi Safarman





