SPR perkukuh keselamatan sistem digital menjelang PRN Melaka, Sarawak

Facebook
WhatsApp

MELAKA, 11 November: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengambil langkah keselamatan tambahan bagi memastikan urusan pilihan raya negeri Melaka dan Sarawak berjalan lancar susulan ancaman siber baru-baru ini, yang mengganggu capaian sistem digitalnya.

Setiausaha SPR Datuk Khairul Shahril Idrus berkata sejak risiko ancaman itu dikenal pasti, suruhanjaya berkenaan telah menyelaras tindakan dengan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta Jabatan Digital Negara (JDN).

“Langkah-langkah keselamatan tambahan dan tindakan mitigasi sedang dilaksanakan secara berterusan bagi mencegah sebarang ancaman serta memperkukuh daya tahan sistem SPR khususnya menjelang Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Melaka dan Sarawak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Khairul Shahril berkata sebagai jaminan, SPR turut menyediakan beberapa saluran alternatif bagi memudahkan pengundi di kedua-dua negeri berkenaan menyemak pusat mengundi masing-masing, termasuk secara dalam talian menerusi portal rasmi atau aplikasi MySPR Semak.

Katanya pengundi boleh juga menghubungi Pusat Panggilan SPR di talian 03-8892 7218 yang beroperasi setiap hari, termasuk Sabtu dan Ahad, dari 9 pagi hingga 8 malam.

Menurut kenyataan itu, bagi semakan secara fizikal, pengundi boleh hadir ke barung semakan pusat mengundi pada hari mengundi.

SPR juga menasihatkan pengundi supaya membuat semakan lebih awal serta menyimpan tangkap layar atau maklumat pusat mengundi bagi melancarkan urusan pada hari berkenaan.

Dalam pada itu, Khairul Shahril berkata keselamatan sistem dan kelancaran pengurusan pilihan raya sentiasa menjadi keutamaan SPR. 

Beliau berkata SPR akan terus memperkukuh kesiapsiagaan dan kerjasama dengan NACSA, MKN, JDN serta agensi berkaitan bagi memastikan sistem pilihan raya kekal selamat dan berdaya tahan. 

“SPR komited untuk memastikan urusan pilihan raya berjalan dengan lancar, cekap, teratur dan telus serta keyakinan rakyat terhadap pengurusan pilihan raya negara sentiasa terpelihara,” katanya. – Bernama