KUCHING, 7 November: Dua buah rumah teres dua tingkat di Lorong Pisang, Cascara Arena, di sini, mengalami kemusnahan kira-kira 50 peratus dalam kejadian kebakaran tengah hari ini.
Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 12.21 tengah hari.
“Setibanya di lokasi, didapati kebakaran melibatkan bahagian tingkat atas kedua-dua buah rumah berkenaan yang merupakan bangunan kekal dengan keluasan setiap rumah dianggarkan 20 x 40 kaki persegi.
“Anggaran kemusnahan akibat kebakaran adalah sebanyak 50 peratus dan setakat ini, tiada mangsa dilaporkan terlibat,” katanya dalam satu kenyataan.
Pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Lintang tiba di lokasi pada 12.26 tengah hari dengan bantuan anggota dari BBP Padungan.
Operasi pemadaman melibatkan kekuatan keseluruhan 15 anggota, dua buah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah Unit Perkhidmatan Penyelamatan dan Perawatan Kecemasan (EMRS).
Kerja-kerja pemadaman sedang dijalankan ketika laporan awal kejadian dikeluarkan.




