KUCHING, 6 November: Seramai 21 warga asing ditahan Jabatan Imigresen (JIM) Sarawak dalam operasi penguatkuasaan menerusi Ops Sapu yang dijalankan di enam lokasi sekitar Kuching dan kawasan berhampiran kelmarin (4 November ).
Operasi bermula 12.00 tengah malam hingga 7.00 pagi itu melibatkan pemeriksaan di premis bilik sewa dan rumah kongsi di Jalan Astana, Jalan Satok, Kota Samarahan serta Gedong.
JIM Sarawak dalam kenyataan hari ini memaklumkan, seramai 48 warga asing diperiksa dalam operasi yang dilaksanakan susulan aduan orang awam dan hasil risikan pihak JIM Kuching.
Daripada jumlah itu, 21 individu ditahan atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155), membabitkan Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c).
Menurut kenyataan itu, operasi berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha berterusan JIM Sarawak untuk mempergiat penguatkuasaan undang-undang imigresen, khususnya membanteras keberadaan serta penyalahgunaan pas dan dokumen perjalanan oleh warga asing.
JIM Sarawak menegaskan tindakan penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa berdasarkan aduan awam, risikan dan pemantauan berterusan.
Orang ramai turut digesa menyalurkan maklumat berkaitan pelanggaran undang-undang imigresen kepada pihak jabatan bagi membantu memastikan keselamatan, ketenteraman dan kedaulatan negara sentiasa terpelihara.




