Warga emas rugi RM4,500 diperdaya sindiket azimat palsu di Serian

Facebook
WhatsApp
SEORANG warga emas kerugian RM4,500 selepas diperdaya dua lelaki yang menawarkan azimat kononnya mempunyai kuasa luar biasa dan mampu menjadikan pemiliknya kebal dalam kejadian di Serian.

SERIAN, 6 November: Seorang warga emas kerugian RM4,500 selepas diperdaya dua lelaki yang menawarkan azimat kononnya memiliki kuasa luar biasa dan mampu menjadikan pemiliknya kebal daripada sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Serian, Superintenden Freddy Bian Stanislaus Bian berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian yang berlaku kira-kira 8.00 pagi semalam di deretan kedai berhampiran Pasar Serian.

Menurutnya, mangsa yang merupakan lelaki tempatan didatangi dua lelaki tidak dikenali, sebelum salah seorang suspek menunjukkan sejenis azimat berwarna coklat berbentuk lingkaran yang didakwa mempunyai kuasa luar biasa serta mampu melindungi pemiliknya daripada bahaya.

“Bagi meyakinkan mangsa, suspek menunjukkan demonstrasi kononnya membuktikan keistimewaan azimat tersebut menggunakan sebilah pisau cukur dan sekeping kertas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Suspek kemudian menawarkan azimat berkenaan pada harga RM7,000. Bagaimanapun, apabila mangsa memaklumkan tidak mempunyai wang mencukupi, seorang daripada suspek mengambil rantai emas yang dipakainya dengan alasan ia sebahagian daripada urus niaga tersebut.

Suspek pertama kemudiannya memberi alasan mahu membeli minuman sebelum melarikan diri menggunakan sebuah kenderaan.

Mangsa yang menyedari dirinya telah ditipu cuba mengejar kedua-dua suspek, namun gagal.

Freddy berkata, mangsa mengalami kerugian dianggarkan RM4,500 akibat kejadian itu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan secara tidak jujur mendorong penyerahan harta,” katanya.

Polis kini menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti dan mengesan kedua-dua suspek serta kenderaan yang digunakan dalam kejadian berkenaan.

Sehubungan itu, Freddy menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan individu yang mendakwa memiliki azimat, tangkal atau barangan lain yang mempunyai kuasa luar biasa.

Beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak menyerahkan barang kemas, wang tunai atau barangan peribadi kepada individu tidak dikenali serta sentiasa berwaspada apabila didekati pihak yang menggunakan pujukan, demonstrasi atau helah tertentu untuk meraih kepercayaan.

Orang ramai yang menjadi mangsa penipuan dinasihatkan supaya segera membuat laporan di balai polis berhampiran.

Bagi kes penipuan kewangan melibatkan transaksi dalam talian, orang ramai boleh menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997.

Individu yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini juga diminta tampil membantu siasatan polis.

Oleh Connie Chieng