KUCHING, 6 November: Empat lelaki bersenjata memecah masuk sebuah rumah di Tabuan Tranquility, Jalan Canna, di sini sebelum menyamun sebuah keluarga dengan melarikan wang tunai, jam tangan, rantai emas dan beberapa botol minuman keras pada awal pagi 31 Oktober lalu.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira 4.38 pagi pada hari yang sama.
Menurutnya, keempat-empat suspek yang bersenjatakan alat pemotong dan objek logam dipercayai memasuki rumah berkenaan dengan memanjat tembok belakang sebelum mengumpil pintu gelangsar sebuah bilik tidur di tingkat bawah.
Suspek kemudian mengambil dua bilah pisau dari dapur sebelum mengugut dan mengikat mangsa bersama ahli keluarganya.
Mereka kemudiannya melarikan diri bersama wang tunai, beberapa utas jam tangan, rantai emas serta botol minuman keras.


Alexson berkata, tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian tersebut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Suspek turut disiasat mengikut Seksyen 397 Kanun Keseksaan kerana menggunakan senjata berbahaya ketika melakukan samun, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Ang Mei Cin di talian 010-7039818 atau tampil membuat laporan di balai polis berhampiran.
Alexson memberi jaminan bahawa siasatan menyeluruh sedang dijalankan dengan keutamaan diberikan kepada usaha mengesan dan membawa suspek ke muka pengadilan.





