MIRI, 6 November: Seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun mengalami kerugian RM2,470 selepas diperdaya menerusi peraduan gores dan menang yang dijalankan secara langsung di Facebook.
Menurut hantaran Facebook Polis Daerah Miri, kejadian berlaku pada 4 November lalu apabila mangsa tertarik menyertai peraduan berkenaan dengan membeli 20 keping kad berharga RM50.
Mangsa kemudian dimaklumkan memenangi wang berjumlah RM80,827 sebelum diminta membayar RM720 sebagai yuran penebusan hadiah serta RM1,700 bagi tujuan pengesahan akaun bank.
Mangsa membuat tiga transaksi berjumlah RM2,470 ke akaun Touch ‘n Go dan AmBank atas nama dua individu berbeza.
“Bagaimanapun, mangsa menyedari dirinya ditipu apabila wang kemenangan tidak diterima dan suspek gagal dihubungi, manakala akaun Facebook berkenaan tidak lagi dapat ditemukan,” menurut hantaran itu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran kemenangan wang tunai di media sosial serta tidak membuat sebarang bayaran bagi menebus hadiah tanpa pengesahan kesahihan penganjur.
Mangsa penipuan dalam talian diminta segera menghubungi pihak bank masing-masing atau Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) menerusi talian 997.
Oleh Liong Chai Ling





