MUKAH, 3 November: Polis menahan dua individu selepas dipercayai mengugut untuk membunuh seorang wanita berusia 69 tahun dan suaminya dalam kejadian di sebuah rumah panjang di Sungai Sepudun, Balingian, semalam.
Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Muhamad Rizal Alias berkata, kejadian berlaku kira-kira 10.30 pagi apabila pengadu didatangi adiknya bersama isteri di kediaman mereka.
Menurutnya, kedua-dua individu berkenaan dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol sebelum berlaku pertengkaran susulan teguran pengadu yang meminta mereka berhenti meminum tuak.
“Semasa pertengkaran berlaku, kedua-dua suspek dipercayai mengeluarkan kata-kata ugutan untuk membunuh pengadu dan suaminya.
“Keadaan bertambah tegang apabila salah seorang suspek masuk ke dalam bilik dan dilihat memegang sebilah parang,” katanya dalam kenyataan.
Susulan kejadian itu, pengadu tampil membuat laporan polis bagi membolehkan tindakan lanjut diambil.
Hasil siasatan awal, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah menahan seorang lelaki berusia 57 tahun dan seorang wanita berusia 21 tahun kira-kira 4.00 petang pada hari kejadian.
Polis turut merampas sebilah parang berukuran 23 sentimeter yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian berkenaan.
Kedua-dua suspek direman selama tiga hari sehingga 6 November ini bagi membantu siasatan dan kini ditahan di lokap Balai Polis Mukah.
Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Polis turut meneruskan siasatan dengan mengesan saksi-saksi bebas yang berkaitan serta melengkapkan kertas siasatan untuk tindakan selanjutnya.
Dalam pada itu, DSP Muhamad Rizal menasihatkan orang ramai supaya mengelakkan sebarang perbuatan yang boleh mencetuskan pergaduhan atau mengancam keselamatan, khususnya ketika berada di bawah pengaruh alkohol.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian jenayah diminta menyalurkannya kepada pihak polis bagi membantu siasatan serta menjaga keselamatan masyarakat setempat.
Oleh Adi Safarman




