KUCHING, 3 November: Seorang wanita tempatan berusia 45 tahun mengalami kerugian RM29,863 selepas menjadi mangsa penipuan pelaburan saham tidak wujud yang diiklankan menerusi Facebook.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu berkata, wanita itu melihat iklan pelaburan berkenaan di Facebook pada 30 September lalu sebelum menekan pautan yang disediakan.
Wanita itu kemudian dihubungi seorang individu yang menawarkan peluang pelaburan membabitkan Mydas FA Sdn Bhd, selain memberikan penerangan mengenai skim berkenaan.
Tertarik dengan tawaran itu, mangsa diarahkan membuat beberapa transaksi pembayaran kononnya bagi tujuan pelaburan, dengan jaminan wang berkenaan akan dikembalikan bersama keuntungan ke dalam akaun pelaburannya.
Alexson berkata, antara 5 hingga 31 Oktober lalu, mangsa membuat lima transaksi pembayaran ke lima akaun bank berbeza dengan jumlah keseluruhan RM29,863.
Mangsa menyedari dirinya ditipu selepas gagal mendapatkan semula wang yang dilaburkan serta keuntungan yang dijanjikan.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan secara tidak jujur mendorong penyerahan harta,” katanya.
Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun, sebatan dan denda.
Alexson menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah mempercayai tawaran pelaburan yang diiklankan di media sosial serta membuat semakan teliti sebelum melaburkan wang.
Orang ramai boleh menyemak senarai syarikat dan laman sesawang yang tidak mendapat kebenaran atau kelulusan menerusi Bank Negara Malaysia di www.bnm.gov.my atau menghubungi BNM TELELINK di talian 1-300-88-5465. Semakan juga boleh dibuat menerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia di www.sc.com.my atau talian 03-6204 8999.
Pelabur turut boleh menyemak individu atau syarikat yang menawarkan skim pelaburan menerusi SC Investment Checker di https://www.sc.com.my/investment-checker.
Mangsa penipuan yang baru sahaja memindahkan wang ke akaun bank atau e-dompet yang disyaki milik penipu dinasihatkan supaya segera menghubungi Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) menerusi talian 997.
Orang ramai juga boleh menyemak nombor telefon dan akaun bank yang mencurigakan menerusi aplikasi CCID Scam Check atau portal Semak Mule di http://semakmule.rmp.gov.my sebelum melakukan sebarang transaksi kewangan.
Bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai taktik dan modus operandi penipuan, orang ramai boleh mengikuti akaun media sosial rasmi Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, iaitu @JSJKPDRM dan @CYBERCRIMEALERTRMP, di Facebook, Instagram dan TikTok.
Oleh Connie Chieng





