KUCHING, 3 November: Tiga individu terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita ditahan dalam kes berkaitan dadah di Kampung Sungai Apong di sini, manakala dalam kes berasingan, seorang lelaki berusia 42 tahun mengalami kerugian RM30,487.50 selepas menjadi mangsa penipuan pinjaman wang dalam talian.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu berkata, ketiga-tiga suspek warga tempatan berusia 18, 25 dan 20 tahun itu ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching kira-kira 6.00 petang, 2 November lalu.
Polis turut merampas 5.55 gram dadah disyaki methamphetamine yang dianggarkan bernilai RM610 di pasaran.
Ujian saringan awal air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
Semakan mendapati suspek lelaki berusia 18 tahun tidak mempunyai rekod jenayah lampau, manakala suspek lelaki berusia 25 tahun mempunyai tujuh rekod jenayah lampau dan suspek wanita berusia 20 tahun mempunyai satu rekod jenayah lampau.
Kesemua suspek direman selama empat hari bermula 4 hingga 7 November bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara antara dua hingga lima tahun serta sebatan antara tiga hingga sembilan kali jika sabit kesalahan.
Alexson berkata, kejayaan tangkapan itu hasil risikan berterusan serta kerjasama orang awam. Beliau menegaskan bahawa polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam pengedaran dadah.
Beliau meminta orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan dadah menerusi talian hotline Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik di 012-208 7222 atau hotline IPK Sarawak di 017-592 9211.
Dalam kes berasingan, seorang lelaki tempatan berusia 42 tahun mengalami kerugian RM30,487.50 selepas terpedaya dengan iklan pinjaman wang dalam talian yang dipaparkan di Facebook.
Alexson berkata, mangsa menemui iklan pinjaman wang yang kononnya ditawarkan oleh Boost Bank ketika berada di Hospital KPJ, Jalan Stutong, kira-kira 12.00 tengah hari pada 19 Oktober lalu.
Tertarik dengan tawaran itu, mangsa menekan butang ‘Apply Now’ sebelum dihubungi seorang individu yang memperkenalkan dirinya sebagai Jeremy Lee dari Jabatan Kewangan Boost Bank.
Pada 26 Oktober, mangsa dimaklumkan bahawa permohonan pinjaman berjumlah RM20,000 telah diluluskan sebelum diarahkan membuat beberapa bayaran bagi menguruskan pinjaman berkenaan.
Mangsa kemudian membuat 12 transaksi pembayaran ke tujuh akaun bank berbeza dengan jumlah keseluruhan RM30,487.50.
Mangsa menyedari dirinya ditipu selepas wang pinjaman yang dijanjikan tidak dimasukkan ke dalam akaun banknya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun, sebatan dan boleh juga dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Alexson menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan iklan pinjaman wang yang disiarkan menerusi media sosial.
Orang ramai yang mempunyai kemusykilan atau mengesyaki diri mereka menjadi mangsa penipuan boleh menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) menerusi talian 997 atau mendapatkan nasihat di balai polis atau bank berhampiran.
Oleh Connie Chieng




