BINTULU, 3 November: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan sebuah bot tunda di perairan Bintulu selepas pemeriksaan mendapati peralatan keselamatan yang digunakan vesel berkenaan telah tamat tempoh.
Bot itu ditahan kira-kira 1.20 tengah hari semalam pada kedudukan 2.5 batu nautika barat laut Kuala Kemena oleh pasukan rondaan APMM yang sedang melaksanakan Op Tiris 4.0 dan Op Permai 01/2019.
Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kapten Maritim Muhammad Suffian Eldine Abdullah berkata, hasil pemeriksaan mendapati bot berkenaan dikendalikan tujuh kru terdiri daripada tiga warga Indonesia termasuk nakhoda, dua warga tempatan serta masing-masing seorang warga India dan Myanmar.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati bot berkenaan menggunakan peralatan keselamatan yang telah tamat tempoh, dengan kesalahan itu disyaki melibatkan Seksyen 300 Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 (Merchant Shipping Ordinance 1952) berkaitan penghantaran kapal tidak selamat ke laut (unseaworthy).
“Bot bersama kesemua kru kemudiannya diiring ke Pusat Tahanan Vesel Maritim Zon Bintulu sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat APMM untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Muhammad Suffian berkata, aspek keselamatan pelayaran merupakan keutamaan bagi memastikan setiap pergerakan vesel di laut mematuhi peraturan yang ditetapkan.

Beliau turut mengingatkan semua pengusaha vesel dan komuniti maritim supaya sentiasa memastikan peralatan keselamatan berada dalam keadaan baik, berfungsi serta sah tempoh penggunaannya.
Katanya, pematuhan terhadap peraturan keselamatan bukan sekadar memenuhi tuntutan undang-undang, malah merupakan tanggungjawab bersama dalam melindungi nyawa kru dan menjamin keselamatan di laut.
“APMM akan terus mempergiat pemantauan dan penguatkuasaan di perairan negara bagi memastikan keselamatan pelayaran sentiasa terpelihara serta kepentingan maritim negara terus dilindungi,” ujarnya.
Sebarang aduan, maklumat atau kecemasan di laut boleh disalurkan melalui talian kecemasan 999, Pusat Operasi Maritim Zon Bintulu di talian 086-314254 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di talian 082-432544.
Oleh Carolyne Utih





