Kerajaan pantau kebajikan 130 rakyat Malaysia ditahan di Pakistan

Facebook
WhatsApp
TIMBALAN Menteri Luar Negeri Datuk Lukanisman Awang Sauni pada sesi menggulung perbahasan Peringkat Jawatankuasa untuk Perbelanjaan Mengurus dan Pembangunan Tahun 2027 sempena Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima, Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen hari ini. Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 3 November: Kerajaan memantau kebajikan 130 rakyat Malaysia yang ditahan pihak berkuasa Pakistan kerana disyaki terbabit dalam sindiket penipuan siber, termasuk memastikan mereka mendapat bekalan makanan, minuman serta akses kepada bantuan guaman.

Timbalan Menteri Luar Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata wakil Malaysia di setiap negara akan memastikan rakyat negara ini yang berdepan masalah atau ditahan pihak berkuasa mendapat perhatian sewajarnya, khususnya dari segi kebajikan dan bantuan diperlukan.

“Setakat ini 130 individu yang ditangkap ketika ini telah pun dikenal pasti mempunyai tahap kesihatan yang baik, telah diberikan makanan dan minuman dan kita juga telah menawarkan cadangan bentuk guaman yang boleh diambil,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2027 dan Usul Anggaran Perbelanjaan Pembangunan 2027 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Luar di Dewan Rakyat hari ini.

Lukanisman berkata daripada jumlah itu, 63 individu dilaporkan dari Sabah, Sarawak (55), Johor (lima), Kuala Lumpur (tiga), Selangor (dua) serta Pulau Pinang dan Kelantan masing-masing mencatatkan seorang individu ditahan.

Sebelum ini, Polis Diraja Malaysia mengesahkan 130 rakyat Malaysia ditahan pihak berkuasa Pakistan di Rawalpindi, baru-baru ini berhubung penglibatan mereka dalam sindiket jenayah siber.

Semalam, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata Malaysia dan Pakistan sedang mengadakan perbincangan bagi menyelaras tindakan susulan berhubung penahanan 130 rakyat Malaysia yang disyaki terbabit dalam kegiatan penipuan dalam talian di negara itu.

Sementara itu, Lukanisman berkata kerajaan sedang memuktamadkan kad Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) bagi tujuan pendaftaran pelarian berdasarkan modul yang diperkenalkan Malaysia, selaras dengan pendirian supaya Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) menghentikan proses pendaftaran.

Beliau berkata proses itu perlu dilaksanakan secara teratur kerana masih terdapat sejumlah besar permohonan pendaftaran yang belum diproses oleh UNHCR, selain kerajaan perlu mengambil kira baki pelarian yang masih berada dalam rekod suruhanjaya berkenaan.

“Dasar kita mengarahkan supaya UNHCR memberhentikan segala pendaftaran. Walaupun demikian, kita mengakui pemantauan berkenaan proses yang dilakukan oleh pihak UNHCR ini mungkin masih lagi belum diperketat kerana kita sedang memuktamadkan penggunaan DPP untuk mendaftar berdasarkan modul yang diperkenalkan oleh kerajaan Malaysia,” katanya.

Lukanisman berkata penggunaan DPP telah membuktikan keupayaan Malaysia mendaftarkan pelarian secara sendiri, namun pelaksanaan pada skala lebih besar masih berdepan kekangan sumber manusia.

Beliau berkata dari Januari hingga kini, kerajaan hanya berjaya mendaftarkan kira-kira 147 pelarian berikutan kekurangan tenaga kerja bagi melaksanakan proses berkenaan.

Dalam pada itu, Lukanisman berkata kerajaan turut mendesak UNHCR mempercepat proses penempatan pelarian ke negara ketiga, meskipun mengakui situasi geopolitik tidak menentu ketika ini menyebabkan banyak negara tidak lagi membuka ruang untuk menerima pelarian.

Dewan Rakyat kemudian meluluskan anggaran perbelanjaan mengurus dan pembangunan 2027 berjumlah RM1,212,144,700 yang diperuntukkan kepada Kementerian Luar dalam Belanjawan 2027 dengan lebih suara bersetuju, selepas dibahas 12 Ahli Parlimen.

Persidangan bersambung esok.- Bernama