Semangat ‘Segulai Sejalai’ kunci keharmonian masyarakat rumah panjang

Facebook
WhatsApp
ALBUM... Datuk Rosey Yunus rakam kenangan bersama Jawatankuasa Keselamatan Kemajuan Kampung (JKKK) dan Biro Wanita Rumah Majang.

BEKENU, 2 November: Semangat ‘Segulai Sejalai’ yang menekankan perpaduan, kebersamaan dan kerjasama perlu terus diperkukuh bagi memastikan keharmonian serta kesejahteraan masyarakat rumah panjang.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-kanak, Datuk Rosey Yunus berkata, kesepakatan dan hubungan erat dalam kalangan penduduk amat penting bagi mewujudkan kehidupan bermasyarakat yang harmoni.

Menurutnya, cogan kata ‘Segulai Sejalai’ yang berasal daripada bahasa Iban membawa maksud seiring sejalan atau berjalan bersama-sama, sekali gus melambangkan perpaduan dan semangat kebersamaan tanpa mengira latar belakang.

Beliau berkata, cogan kata berkenaan turut menjadi lambang perpaduan negara dan terus digunakan dalam sambutan penting seperti Hari Malaysia.

“Saya amat gembira melihat hubungan silaturahim yang erat, semangat kebersamaan serta kesepakatan hati dalam kalangan penduduk di sini, khususnya dalam usaha bersama-sama merancang dan menjayakan pembangunan keluarga masing-masing.

“Paling penting, penduduk perlu terus memberikan kerjasama dan menghormati serta mendengar pandangan Tuai Rumah kerana inilah yang diharapkan oleh kerajaan.

“Kesepakatan dan kerjasama sedemikian akan membawa manfaat serta kebaikan kepada seluruh penduduk,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Program Randau Ngopi Ngopi bersama Biro Wanita Rumah Majang di Rumah Majang, Bekelit, kelmarin.

Rosey yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bekenu turut menggesa rakyat supaya terus memberikan sokongan kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) susulan pembubaran DUN Sarawak.

Menurutnya, GPS telah melaksanakan pelbagai usaha untuk membawa perubahan dan kemajuan demi meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Sementara itu, Program Randau Ngopi Ngopi yang berlangsung dalam suasana santai dan mesra menjadi platform untuk mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan wanita setempat.

Program berkenaan turut memberi peluang kepada peserta untuk bertukar pandangan, menyuarakan aspirasi serta berkongsi pengalaman dan perkembangan berkaitan komuniti mereka.

Selain itu, program tersebut mengetengahkan pelbagai hasil kraftangan kreatif yang dihasilkan oleh Biro Wanita Rumah Majang.

Hasil kraftangan berkenaan memperlihatkan kemahiran dan potensi wanita tempatan dalam menghasilkan produk yang mempunyai nilai seni serta berdaya saing.

Usaha itu diharap dapat terus diperkasakan bagi membuka lebih banyak peluang menjana pendapatan, selain memelihara kemahiran kraftangan sebagai warisan komuniti.

Program seumpama itu juga diharap dapat diteruskan bagi memperkukuh perpaduan, menyemarakkan semangat kerjasama serta meningkatkan penglibatan wanita dalam aktiviti kemasyarakatan dan ekonomi setempat.

Oleh Adum Liu