KOTA SAMARAHAN, 2 November: Polis memohon bantuan orang ramai untuk mengesan seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun yang dilaporkan hilang sejak 27 Oktober lalu.
Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, Superintenden Mohd Irwan Hafiz Md Radzi berkata, pihaknya menerima laporan kehilangan lelaki berkenaan di Balai Polis Kota Samarahan semalam pada kira-kira 1.25 tengah hari.
Menurutnya, lelaki yang masih bujang itu dikenal pasti sebagai Bonifare Daud Lindang.
Mangsa dilaporkan hilang pada 27 Oktober lalu dan dipercayai memandu sebuah kereta Proton Saga berwarna coklat dengan nombor pendaftaran QPC 9237.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai keberadaan lelaki berkenaan diminta menghubungi pegawai penyiasat, Sarjan Parmenas Pantulusang di talian 019-457 9729.
Orang ramai juga boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Samarahan di talian 082-662222 atau menyalurkan maklumat kepada balai polis berhampiran.
Oleh Connie Chieng




