KOTA SAMARAHAN, 2 November: Allahyarham Dr Md Mahbubur Rahman gigih menamatkan pengajian PhD ketika sakit demi menunaikan pesanan ibunya, namun hasrat menerima skrol pada hari konvokesyen tidak kesampaian apabila beliau meninggal dunia pada 21 September lalu.
Allahyarham berasal dari Dhaka, Bangladesh dan meninggal dunia pada usia 53 tahun merupakan penerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Ekonomi dari Fakulti Ekonomi dan Perniagaan, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas).
Ijazah itu dianugerahkan selepas kematiannya dan diterima isterinya, Fazreena Dollah, 37, berasal dari Kuching, mewakili arwah pada Sidang Pertama Majlis Konvokesyen Unimas ke-30 di sini, hari ini.
Istiadat itu disempurnakan Yang di-Pertua Negeri yang juga Canselor Unimas, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Menurut Fazreena, arwah suaminya tetap berusaha menyelesaikan pengajian walaupun menghidap kencing manis dan penyakit buah pinggang.
“Walaupun sakit, arwah masih cuba menghabiskan pengajiannya hingga larut malam.

“Itu susah payah beliau yang saya lihat sendiri,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menerima skrol berkenaan.
Jelas Fazreena, beliau sering memberikan semangat kepada suaminya supaya menamatkan pengajian demi menunaikan pesanan ibu arwah.
“Saya selalu ingatkan supaya habiskan pengajian kerana ini amanah ibunya.
“Ibu arwah berpesan supaya beliau memperoleh gelaran doktor, alhamdulillah beliau berjaya,” jelasnya.
Tambah Fazreena, arwah suaminya menghembuskan nafas terakhir sewaktu hendak menjalani rawatan dialisis melalui leher, manakala kesedihan atas kehilangan itu masih dirasai sehingga kini.
“Sampai hari ini, rasa sedih itu masih tidak dapat saya gambarkan kerana suami baru sahaja meninggal dunia.
“Saya berbangga bagi pihak beliau sebagai wakil untuk menerima anugerah ini dan ini untuk keluarga saya di luar negara mahupun di Malaysia,” ujarnya.
Pasangan itu dikurniakan seorang anak perempuan, Nurfathia Umairah, 11, yang bercita-cita menjadi doktor kanak-kanak.
Oleh Masrin Affirah





