Pinjam akaun bank kepada rakan, lelaki berdepan siasatan polis di beberapa negeri

Facebook
WhatsApp
MICHAEL Kong bersama mangsa.

KUCHING, 2 November: Seorang lelaki berdepan siasatan polis di beberapa negeri selepas akaun bank yang dipinjamkan kepada rakan sejak kecil dipercayai disalahgunakan sebagai akaun keldai.

Pembantu Khas kepada Ahli Parlimen Stampin, Chong Chieng Jen, Michael Kong Feng Nian berkata, lelaki yang dikenali sebagai Chai itu baru-baru ini menerima panggilan daripada polis Serian yang memintanya memberikan kerjasama dalam siasatan.

Menurutnya, Chai kemudian mengetahui bahawa akaun bank yang dipinjamkan kepada rakannya itu dipercayai telah disalahgunakan sehingga mencetuskan siasatan di beberapa lokasi, termasuk Batu Pahat, Muar dan Seremban.

Beliau berkata, Chai telah memberikan kerjasama kepada pihak polis dengan merakamkan keterangannya, namun perkara itu menimbulkan tekanan dan kebimbangan kepada lelaki berkenaan serta keluarganya.

“Antara kebimbangan utamanya ialah kemungkinan perlu menghadapi prosiding undang-undang di Semenanjung Malaysia.

“Keadaan ini boleh menimbulkan kesulitan dan beban kewangan yang besar, khususnya sekiranya dia perlu mendapatkan khidmat peguam di sana,” katanya.

Kong berkata, kejadian itu wajar dijadikan pengajaran kepada orang ramai supaya tidak sesekali meminjamkan akaun bank kepada individu lain, tanpa mengira sejauh mana hubungan atau tahap kepercayaan terhadap mereka.

“Akaun bank berkait rapat dengan identiti dan rekod kewangan seseorang. Sebaik sahaja anda membenarkan orang lain menggunakannya, anda mungkin tidak lagi mempunyai kawalan terhadap cara akaun itu digunakan.

“Sekiranya akaun berkenaan terlibat dalam transaksi mencurigakan atau menyalahi undang-undang, anda mungkin perlu menjelaskan penglibatan anda dan membantu siasatan, walaupun bukan anda yang melakukan transaksi tersebut,” jelasnya.

Sehubungan itu, Kong berkata, beliau bersama pasukannya akan terus membantu Chai dan keluarganya sepanjang proses siasatan bagi membolehkan lelaki berkenaan menjelaskan kedudukannya kepada pihak berkuasa.

Beliau turut berharap pengalaman Chai menjadi peringatan kepada masyarakat mengenai kepentingan melindungi akaun bank dan maklumat peribadi daripada disalahgunakan pihak tidak bertanggungjawab.

Katanya, orang ramai perlu lebih berwaspada dan tidak membiarkan kepercayaan terhadap individu lain menyebabkan mereka terjerat dalam masalah perundangan yang boleh dielakkan.

Oleh Connie Chieng

Inovasi baja biokimia perkasa pertanian Sarawak

LAWAS, 2 November: Teknologi baja biokimia yang menggabungkan baja kimia dengan mikroorganisma bermanfaat berpotensi meningkatkan produktiviti tanaman, kesuburan tanah serta