BEKENU, 2 November: Penganjuran kelas anyaman Bakul Krokedai oleh Biro Wanita Rumah Jambai dilihat berpotensi memperkasakan ekonomi wanita setempat, selain memelihara warisan kraftangan tradisional agar terus diwarisi generasi akan datang.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-kanak, Datuk Rosey Yunus berkata, inisiatif itu memberi peluang kepada kaum wanita mempelajari serta mengembangkan kemahiran dalam seni kraftangan tradisional, khususnya anyaman Bakul Krokedai yang mempunyai nilai seni dan warisan tersendiri.
Menurutnya, selain memupuk kreativiti, kemahiran anyaman berkenaan turut berpotensi membuka peluang menjana pendapatan menerusi penghasilan dan pemasaran produk kraftangan tempatan.

“Program ini bukan sahaja memberi peluang kepada wanita mengembangkan kemahiran, malah membantu memperkasakan ekonomi mereka serta memastikan warisan kraftangan tradisional terus dipelihara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Program Rinduk Ati bersama Biro Wanita Rumah Jambai di Bekelit, kelmarin.
Rosey yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bekenu berkata, pameran kraftangan yang diadakan turut mengetengahkan kreativiti dan kemahiran ahli biro wanita dalam menghasilkan pelbagai produk tempatan.
Katanya, hasil kraftangan berkenaan memperlihatkan potensi produk buatan komuniti untuk diperkenalkan kepada pasaran lebih luas, sekali gus meningkatkan peluang ekonomi wanita setempat.
Sementara itu, program berkenaan turut merangkumi perasmian Kelas Anyaman Bakul Krokedai, pameran kraftangan dan aktiviti Santai Ngopi.

Aktiviti Santai Ngopi memberi ruang kepada peserta untuk beramah mesra, bertukar pandangan serta mengeratkan hubungan silaturahim dalam suasana santai dan mesra.
Inisiatif seumpama itu bukan sahaja dapat meningkatkan penglibatan wanita dalam aktiviti ekonomi dan kemasyarakatan, malah membantu memastikan kemahiran kraftangan tradisional terus diwarisi generasi akan datang.
Usaha Biro Wanita Rumah Jambai turut mencerminkan komitmen komuniti setempat dalam memperkasakan wanita serta memelihara warisan kraftangan agar terus relevan dan mempunyai nilai ekonomi.
Turut hadir, Tuai Rumah (Tr) Jambai, Tr Lani, Tr Christopher Banyong, Tr Gasan, Tr Bulin dan Ketua Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Bekenu Kaunselor Hadijah Sheikh serta Biro Wanita Rh Majang, Bulin dan Rumah Gasan.
Oleh Adum Liu





