Antonelli cipta sejarah, muncul juara dunia F1 termuda

Facebook
WhatsApp
PELUMBA Mercedes, Kimi Antonelli meraikan kejayaan merangkul gelaran juara dunia Formula Satu (F1) selepas tamat perlumbaan Grand Prix Mexico di Litar Hermanos Rodriguez, Mexico City. – Foto AFP

MEXICO CITY, 2 November: Kimi Antonelli mempamerkan aksi cemerlang untuk menamatkan perlumbaan di tempat ketiga bersama Mercedes pada Grand Prix Mexico, sekali gus melakar sejarah Formula Satu (F1) sebagai juara dunia termuda.

Max Verstappen muncul pemenang perlumbaan, namun tumpuan terarah kepada pelumba muda Itali itu yang merangkul kejuaraan dunia pada usia 20 tahun 68 hari, lebih tiga tahun lebih muda berbanding Sebastian Vettel ketika memenangi gelaran pada 2010.

Antonelli turut menjadi pelumba Itali pertama merangkul kejuaraan dunia F1 sejak Alberto Ascari pada 1953.

“Kami berjaya melakukannya. Saya tidak akan berada di sini tanpa Mercedes dan keluarga saya,” kata Antonelli yang kelihatan sebak selepas mencatatkan sembilan kemenangan setakat musim ini.

“Saya amat bersyukur dengan detik ini dan ia akan kekal dalam ingatan saya selama-lamanya. Saya kehilangan kata-kata dan masih cuba menghadam apa yang berlaku.

“Musim ini sungguh luar biasa dan dapat berkongsi podium bersama Max serta Lewis (Hamilton) adalah sesuatu yang menakjubkan. Saya tidak sabar untuk menghadapi lebih banyak persaingan pada masa akan datang,” katanya.

Perlumbaan itu berlangsung dalam dua fasa selepas dihentikan sementara pada pusingan ke-46 daripada keseluruhan 71 pusingan susulan kemalangan membabitkan pelumba Cadillac, Valtteri Bottas.

Sistem suspensi bahagian hadapan kiri jentera pelumba Finland itu mengalami kerosakan sehingga menyebabkan rodanya terlipat, sekali gus mengakibatkan jenteranya terbabas secara mengundur sebelum merempuh penghadang litar.

Bottas, 37, mengambil sedikit masa untuk keluar daripada jenteranya, namun sempat melambai kepada penonton ketika berjalan meninggalkan lokasi kejadian.

Semua pelumba lain kemudian diarahkan kembali ke kawasan pit sementara menunggu perlumbaan disambung semula.

Antonelli yang hanya perlu menamatkan perlumbaan dalam kelompok sembilan terbaik untuk mengesahkan kejuaraan dunia, berada di kedudukan ketiga ketika perlumbaan dihentikan, di belakang Verstappen dari Red Bull dan Charles Leclerc dari Ferrari.

KIMI Antonelli meraikan kejayaan merangkul gelaran juara dunia Formula Satu (F1) bersama pelumba Red Bull Racing Max Verstappen (kiri) dan pelumba Ferrari Lewis Hamilton (kanan), selepas tamat perlumbaan Grand Prix Mexico di Litar Hermanos Rodriguez, Mexico City. – Foto AFP

Pencabar terdekatnya yang juga rakan sepasukan, George Russell, semakin kehilangan peluang selepas mengalami permulaan hambar apabila merosot daripada petak kedua ke kedudukan kelima, selain bergelut dengan masalah kuasa jentera.

Russell perlu memenangi perlumbaan itu sekiranya mahu mengekalkan peluang untuk melanjutkan perebutan kejuaraan dunia.

Sementara itu, Hamilton yang memulakan perlumbaan dari petak utama dan turut memerlukan kemenangan bagi menangguhkan kejuaraan Antonelli, berang terhadap rakan sepasukannya di Ferrari susulan insiden pada permulaan perlumbaan.

Leclerc dilihat keluar daripada laluan litar sebelum merampas kedudukan pendahulu, menyebabkan pelumba Monaco itu dikenakan penalti lima saat.

Bagaimanapun, Leclerc masih berjaya mengekalkan kedudukan di hadapan Hamilton.

Situasi berubah selepas perlumbaan disambung semula apabila Hamilton memintas Antonelli dan Leclerc sebelum berlaku sentuhan roda dengan Verstappen, lalu berada di kedudukan kedua.

Bendera kuning sekali lagi dikibarkan apabila pelumba Racing Bulls, Arvid Lindblad, terbabas selepas bertembung dengan jentera McLaren dipandu Oscar Piastri ketika perlumbaan berbaki 10 pusingan.

Antonelli terus mengekalkan kedudukan ketiga, manakala Hamilton meneruskan tekanan terhadap Verstappen dalam perebutan kemenangan.

Pelumba muda Itali itu tidak dapat menahan air mata ketika melintasi garisan penamat, sekali gus mengesahkan kejuaraan dunia pertamanya.

Detik bersejarah itu menjadi lebih istimewa apabila Antonelli menamatkan perlumbaan di belakang dua legenda F1, Verstappen dan Hamilton, yang secara keseluruhan memiliki 11 gelaran juara dunia.— AFP