BINTULU, 1 November: Sukan taekwondo bukan sekadar medan untuk mengejar kemenangan dan pingat, malah menjadi platform penting dalam membentuk disiplin, keyakinan diri, keberanian serta kawalan diri dalam kalangan generasi muda.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming berkata, perkembangan sukan berkenaan di Bintulu menunjukkan kesan positif terhadap golongan muda, khususnya dari segi pembentukan sahsiah dan keyakinan diri.
Menurutnya, beliau menyaksikan sendiri perubahan dalam kalangan kanak-kanak yang mula mengikuti latihan taekwondo sejak usia muda, daripada bersifat pemalu dan kurang yakin kepada individu yang lebih berdisiplin serta berani.
“Saya pernah melihat kanak-kanak yang mula mengikuti latihan pada usia muda. Pada mulanya mereka pemalu dan kurang keyakinan, tetapi secara beransur-ansur menjadi lebih kuat, berdisiplin dan yakin melalui sukan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Kejohanan Taekwondo Terbaik Bintulu (WTF) 2026 di Pusat Beli-Belah Boulevard, di sini, hari ini.
Johnny berkata, kejayaan atlet taekwondo Bintulu meraih pingat emas pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) pada 15 Ogos lalu turut membuktikan bahawa bakat tempatan mampu berkembang dan bersaing di peringkat lebih tinggi.

Katanya, pencapaian itu seharusnya menjadi pencetus semangat kepada lebih ramai kanak-kanak dan golongan muda untuk menceburi sukan taekwondo serta berusaha mengembangkan potensi masing-masing.
“Anda sudah dianggap pemenang hanya dengan mempunyai keberanian untuk melangkah ke gelanggang pertandingan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata pembangunan sukan taekwondo memerlukan kerjasama berterusan semua pihak termasuk kelab, jurulatih, ibu bapa, sekolah dan komuniti bagi menyediakan persekitaran yang sesuai untuk atlet muda berkembang.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada ibu bapa yang banyak berkorban masa dan kewangan bagi memastikan anak-anak dapat mengikuti latihan serta menyertai pertandingan.
Menurutnya, sokongan ibu bapa amat penting dalam membina semangat dan keyakinan anak-anak, termasuk memberikan dorongan tanpa mengira sama ada mereka berjaya memperoleh pingat atau sebaliknya.
Dalam pada itu, Johnny berharap lebih ramai atlet taekwondo dari Bintulu berpeluang mewakili Sarawak pada temasya Sukma akan datang, sekali gus menyumbang lebih banyak kejayaan kepada negeri ini.
Kejohanan berkenaan turut menjadi platform kepada atlet muda untuk menguji kemampuan, menimba pengalaman dan meningkatkan kemahiran, selain mencungkil bakat baharu bagi memperkukuh pembangunan sukan taekwondo di Bintulu.
Oleh Faizah Muzidi





