Arsenal tumbangkan Liverpool 1-0, rampas takhta EPL

Facebook
WhatsApp
REBUT BOLA... Pemain tengah Liverpool, Alexis Mac Allister (kanan), bersaing merebut bola dengan dua pemain tengah Arsenal, Martin Odegaard (dua dari kanan) dan Declan Rice (kiri), ketika aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Anfield, Liverpool, awal pagi tadi. Foto AFP

LIVERPOOL (United Kingdom), 2 November: Arsenal merampas kedudukan teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas menamatkan penantian 14 tahun untuk meraih kemenangan di gelanggang Liverpool, hasil jaringan tunggal Kai Havertz yang memastikan kemenangan 1-0 buat The Gunners.

Penyandang juara itu terpaksa bertahan dengan penuh tekanan selepas Havertz membuka jaringan pada minit ke-16, namun berjaya mengekalkan kelebihan untuk mencatat kemenangan penting dalam usaha mempertahankan kejuaraan liga.

Kemenangan tersebut menyaksikan Arsenal kini mendahului Manchester City dengan kelebihan tiga mata di puncak liga.

Bagaimanapun, dengan City dijangka berdepan hukuman pemotongan mata yang berat sekiranya gagal membatalkan keputusan bersalah terhadap lebih 100 pertuduhan melanggar peraturan EPL, kemenangan Arsenal itu memberi tamparan hebat kepada pencabar utama mereka dalam perebutan kejuaraan.

“Sudah terlalu lama kami tidak merasai perasaan seperti ini di sini dan kami benar-benar memerlukannya.

SAINGAN SENGIT… Pemain tengah Arsenal, Noni Madueke (kiri), diasak pertahanan Liverpool Milos Kerkez (tengah), dan penyerang Liverpool Alexander Isak (kanan), ketika aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Anfield, Liverpool, awal pagi tadi. Foto AFP

“Kami amat berbangga dengan apa yang telah dilakukan oleh pasukan, para pemain dan semua pihak,” kata pengendali Arsenal, Mikel Arteta.

Liverpool mempamerkan antara aksi terbaik mereka sejak Andoni Iraola mengambil alih pasukan itu, khususnya dalam tempoh 30 minit selepas dibolosi apabila melancarkan serangan bertali arus.

Namun, kegagalan menyempurnakan peluang menyaksikan pengendali dari Sepanyol itu mengalami kekalahan kedua dalam 14 perlawanan sejak menyertai Liverpool dari Bournemouth.

Arteta sebelum ini mengkritik keras persembahan Arsenal selepas pasukannya tersingkir kepada kelab divisyen keempat, Fleetwood, pada Selasa lalu dalam satu daripada kejutan terbesar sejarah Piala Liga.

Bagaimanapun, pengendali Arsenal itu mendapat reaksi yang diharapkan apabila pasukannya memulakan perlawanan dengan cemerlang.

Havertz, yang menjadi antara pemain paling banyak mensia-siakan peluang pada pertengahan minggu, menebus kekecewaan tersebut apabila mudah menyempurnakan hantaran lintang rendah tepat daripada Declan Rice.

Gol awal itu mencetuskan aksi sengit sepanjang 45 minit pertama apabila Liverpool bangkit memberikan tentangan hebat.

Isak tidak rebahkan diri, Arsenal terselamat

Iraola dan Arteta pernah beraksi bersama ketika zaman kanak-kanak bersama kelab Basque, Antiguoko Kirol Elkartea.

KECEWA… Pemain tengah Liverpool, Alexis Mac Allister (tengah), menunjukkan reaksi kecewa selepas pasukannya tewas 0-1 kepada Arsenal dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Anfield, Liverpool, awal pagi tadi. Foto AFP

Bekas rakan sepasukan Arteta itu menyaksikan anak buahnya memberikan tekanan hebat kepada Arsenal sehingga benteng pertahanan kukuh The Gunners terpaksa bertungkus-lumus mempertahankan kelebihan menjelang rehat.

“Saya menyukai reaksi pemain selepas ketinggalan 0-1. Saya juga menyukai banyak perkara yang ditunjukkan sepanjang perlawanan.

“Kami perlu terus berusaha. Musim ini masih terlalu awal. Arsenal berada dalam kedudukan terbaik, tetapi sekarang baru permulaan November,” kata Iraola.

Ketiga-tiga penyerang Liverpool yang masing-masing bernilai lebih £100 juta (AS$134 juta), iaitu Alexander Isak, Florian Wirtz dan Bradley Barcola, diturunkan bersama dalam kesebelasan utama.

Gandingan ketiga-tiga pemain itu mula menunjukkan perkembangan positif dari segi persefahaman di atas padang.

Bagaimanapun, Isak secara tidak langsung membantu Arsenal apabila tidak merebahkan diri meskipun jersinya ditarik Jurrien Timber ketika dia hampir menyambut hantaran berbahaya daripada Barcola.

“Insiden membabitkan Alex jelas merupakan penalti. Kita semua boleh melihat pemain lawan menarik jersinya.

“Tetapi hanya kerana dia tidak jatuh, pengadil tidak memberikan penalti? Saya tidak memahaminya,” tambah Iraola.

Wirtz hampir menyamakan kedudukan apabila sepakan percumanya dari sudut sempit terkena palang gol.

Alexis Mac Allister pula mensia-siakan peluang keemasan apabila tandukannya tersasar ke tempat duduk penonton di belakang gawang yang dikawal David Raya.

Rehat separuh masa memberi peluang kepada Arsenal menyusun semula permainan dan meredakan momentum Liverpool, yang mula menunjukkan tanda keletihan pada babak kedua.

Penjaga gol Liverpool, Alisson Becker, menghasilkan aksi menyelamat cemerlang apabila menepis percubaan Christos Tzolis yang menuju ke penjuru bawah gawang.

Bagaimanapun, aksi menyelamat itu tidak mampu mengubah keputusan apabila Arsenal berjaya menyerap tekanan pada minit-minit akhir untuk mencatat satu lagi perlawanan tanpa bolos.

Kemenangan tersebut juga merupakan kejayaan kelapan Arsenal dalam sembilan perlawanan liga musim ini.

Kekalahan itu menyaksikan Liverpool kekal di tangga kelima, sembilan mata di belakang pendahulu liga, sekali gus berdepan tugas sukar untuk kembali mencabar kejuaraan.— AFP