Unimas umum tajaan penuh yuran pengajian kepada penerima anugerah Konvokesyen ke-30

Facebook
WhatsApp
PROFESOR Dato Dr Ahmad Hata Rasit berucap pada Majlis Konvokesyen UNIMAS Ke-30 di Arena Gemilang, DeTAR PUTRA, Unimas.

KOTA SAMARAHAN, 2 November: Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) mengumumkan tajaan penuh yuran pengajian kepada penerima Anugerah Pelajaran Diraja, Anugerah Canselor dan Anugerah Naib Canselor yang melanjutkan pengajian di universiti itu.

Menurut Naib Canselornya, Profesor Dato Dr Ahmad Hata Rasit, tajaan bersempena Majlis Konvokesyen Unimas Ke-30 itu merupakan penghargaan terhadap kecemerlangan akademik graduan serta sokongan kepada pembangunan bakat mereka.

“Bersempena dengan Majlis Konvokesyen Unimas Ke-30, penerima Anugerah Pelajaran Diraja, Anugerah Canselor dan Anugerah Naib Canselor akan ditawarkan peluang untuk melanjutkan pengajian di Unimas dengan pembiayaan penuh yuran pengajian yang ditanggung oleh universiti,” umumnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Konvokesyen Unimas Ke-30 di Arena Gemilang, DeTAR PUTRA, di sini, hari ini.

Beliau menjelaskan, pembiayaan tersebut meliputi yuran pengajian sahaja sebagai tanda penghargaan universiti terhadap pencapaian penerima anugerah berkenaan.

“Inisiatif ini turut menjadi pelaburan universiti dalam melahirkan generasi ilmuwan dan pemimpin masa hadapan.

“Kita mahu kecemerlangan itu terus tumbuh, menjadi penyelidikan, inovasi, kepimpinan dan khidmat yang memberi makna,” jelasnya.

PERARAKAN masuk graduan pada Majlis Konvokesyen Unimas ke-30 di Arena Gemilang, DeTAR PUTRA, Unimas.

Sehubungan itu, beliau menggesa penerima anugerah supaya menerima tawaran tersebut sebagai tanda kepercayaan universiti terhadap potensi mereka untuk terus maju.

Dalam pada itu, Ahmad Hata berkata, Unimas akan terus memperkukuh kerjasama strategik dengan industri, institusi penyelidikan dan agensi pembangunan bagi melahirkan graduan yang bersedia menghadapi dunia pekerjaan.

“Kadar kebolehpasaran graduan Unimas mencapai 91.9 peratus, namun universiti turut memberi penekanan kepada keupayaan graduan mencipta peluang pekerjaan dan menyumbang kepada pembangunan Sarawak,” ujarnya.

Untuk rekod, Majlis Konvokesyen Unimas ke-30 yang berlangsung dari hari ini hingga 5 November meraikan 4,428 graduan, termasuk 173 penerima ijazah kedoktoran, 492 sarjana dan 33 diploma pascasiswazah.

Majlis tersebut berlangsung menerusi lapan sidang yang melibatkan graduan daripada 10 fakulti.

Oleh Masrin Affirah