PETRA JAYA, 30 Oktober: Penganjuran Cat City International Bike Week (CCIBW) 2026 yang memasuki edisi ketiga terus mendapat perhatian komuniti permotoran luar Sarawak, khususnya dari Indonesia, Brunei dan Sabah.
Pengerusinya, Abang Nor Nasaruddin Abang Norzuki berkata, maklum balas menggalakkan daripada komuniti penunggang motosikal luar Sarawak mencerminkan perkembangan positif acara berkenaan yang kini diperluaskan ke peringkat antarabangsa.
“Untuk edisi ketiga ini, kita menerima maklum balas dan input yang sangat baik daripada komuniti penunggang motosikal di luar Sarawak, khususnya Indonesia, Brunei dan Sabah,” katanya.

Beliau yang juga Presiden Cat City Motorsport Club berkata demikian ketika ditemu bual bersempena penganjuran CCIBW 2026 di sini, hari ini.
Menurutnya, penyertaan turut melibatkan komuniti motosikal tempatan dari Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri, sekali gus memperlihatkan sokongan terhadap penganjuran acara berkenaan.
Antara kelainan utama edisi kali ini ialah peningkatan taraf daripada Cat City Bike Week kepada Cat City International Bike Week, selain pengenalan beberapa tarikan baharu kepada peminat permotoran.

Antaranya, pameran 10 motosikal ubah suai khas oleh anak Sarawak, Syukur daripada Roketier yang pernah menyertai pertandingan Art of Speed, dengan koleksi berkenaan belum pernah dipamerkan di Sarawak sebelum ini.
Acara itu turut menampilkan pengedar topi keledar jenama Itali, Givi, dari Kuala Lumpur serta pelancaran model motosikal baharu Ghee Hua Motor ZX500 yang diperkenalkan buat pertama kali pada penganjuran CCIBW.
Mengulas impak penganjuran, beliau berkata, kehadiran penunggang luar Sarawak berpotensi merancakkan aktiviti ekonomi setempat, khususnya sektor perhotelan, inap desa, makanan dan minuman serta perniagaan kraftangan.
Katanya, penganjuran CCIBW yang berlangsung serentak dengan acara regata di Tebingan Kuching turut memberi peluang kepada pengunjung luar untuk meneroka pelbagai tarikan pelancongan sekitar bandar raya ini.
Sehubungan itu, beliau berharap komuniti permotoran tempatan dapat terus memberikan sokongan bagi memeriahkan acara berkenaan, sekali gus mengukuhkan hubungan antara peminat motosikal dari pelbagai tempat.
“Kita berharap CCIBW dapat menjadi produk pelancongan ikonik dan kebanggaan bandar raya Kuching, selain terus mendapat sokongan komuniti permotoran tempatan serta luar negara,” katanya.
Penganjuran CCIBW 2026 yang berlangsung sehingga 1 November ini turut membuka peluang kepada orang ramai untuk menyaksikan pelbagai tarikan permotoran serta memeriahkan acara yang menghimpunkan komuniti motosikal dari dalam dan luar Sarawak.
Oleh Norman B





