IPD Lubok Antu periksa 150 kenderaan, keluar 20 saman lalu lintas

Facebook
WhatsApp
SEBANYAK 20 saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas dikeluarkan dalam Operasi Bersepadu Pencegahan Jenayah IPD Lubok Antu di Lebuh Raya Pan Borneo berhampiran Engkilili. Foto: IPD Lubok Antu

LUBOK ANTU, 30 Oktober: Sebanyak 20 saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas dikeluarkan dalam Operasi Bersepadu Pencegahan Jenayah yang dilaksanakan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lubok Antu di Lebuh Raya Pan Borneo berhampiran Engkilili, semalam.

Operasi berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha berterusan polis untuk mempertingkatkan tahap keselamatan awam, selain membendung kegiatan jenayah dan memastikan pengguna jalan raya sentiasa mematuhi undang-undang lalu lintas.

Menurut kenyataan IPD Lubok Antu, operasi itu diketuai Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Daerah, Inspektor Nelson Ensit, dengan penglibatan seramai 19 anggota polis daripada pelbagai pangkat dan cawangan.

Operasi bersepadu itu memberi tumpuan kepada usaha menurunkan kadar jenayah indeks, mencegah serta membanteras kegiatan jenayah dan penyalahgunaan dadah, di samping mempergiat penguatkuasaan undang-undang lalu lintas.

Sepanjang operasi dijalankan, pihak polis melakukan pemeriksaan terhadap 150 kenderaan pelbagai jenis serta 165 individu bagi memastikan tiada aktiviti menyalahi undang-undang berlaku di kawasan berkenaan.

Hasil pemeriksaan dan penguatkuasaan tersebut menyaksikan sebanyak 20 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas, sekali gus menjadi peringatan kepada pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi peraturan dan mengutamakan keselamatan ketika memandu.

IPD Lubok Antu menegaskan pihaknya akan terus melaksanakan operasi seumpama itu secara berkala dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan, ketenteraman awam dan kesejahteraan masyarakat di Daerah Lubok Antu sentiasa terpelihara.

Oleh Adi Safarman