KUCHING, 30 Oktober: Masa depan politik Sarawak mesti kekal ditentukan oleh rakyat negeri ini sendiri, dengan parti-parti politik berasaskan Sarawak memainkan peranan utama dalam melindungi kepentingan, autonomi dan hak perlembagaan negeri.
Pengerusi Cawangan SUPP Kota Sentosa, Wilfred Yap Yau Sin berkata, Sarawak perlu mempertahankan identiti politiknya sendiri serta menolak budaya politik yang dibawa dari Semenanjung Malaysia, khususnya politik berkonfrontasi, polarisasi kaum dan agama serta agenda parti luar.

Beliau berkata, Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah 2025 membuktikan kepentingan perwakilan politik tempatan apabila parti berasaskan Sabah, iaitu Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Warisan, masing-masing memperoleh 29 dan 25 kerusi daripada keseluruhan 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Katanya, Sarawak juga perlu memastikan hala tuju politik negeri ditentukan oleh rakyatnya sendiri melalui institusi politik yang berakar umbi di negeri ini.
“Sarawak bukan lanjutan daripada Semenanjung Malaysia. Masa depan politik kita tidak seharusnya ditentukan oleh ibu pejabat parti politik di Kuala Lumpur. Rakyat Sarawak mesti yakin untuk menentukan nasib sendiri dan melindungi kepentingan kita,” katanya.
Beliau berkata, Gabungan Parti Sarawak (GPS) mewakili pendekatan politik berasaskan Sarawak yang dibina atas prinsip keterangkuman, saling menghormati serta kerjasama antara semua kaum dan agama.
“Berbeza dengan politik perpecahan yang kita saksikan di tempat lain, kekuatan Sarawak terletak pada keupayaannya menyatukan masyarakat berbilang kaum di bawah satu identiti bersama, iaitu rakyat Sarawak.
“Kita mesti mempertahankan budaya politik yang inklusif ini dan memastikan kepentingan Sarawak sentiasa diutamakan,” katanya.
Yap turut menegaskan bahawa hak Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perlembagaan Persekutuan, termasuk autonomi negeri, kuasa imigresen serta kawalan terhadap sumber asli, mesti terus dipelihara.
Beliau berkata, prinsip Sarawak First bukan sekadar slogan, sebaliknya merupakan komitmen untuk mempertahankan hak, identiti dan masa depan negeri ini.
“Tanah kita, hak kita, sumber kita dan masa depan kita adalah milik rakyat Sarawak. Kita mengalu-alukan kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan, tetapi Sarawak tidak boleh sesekali menyerahkan suara politik atau autonominya kepada kepentingan luar,” katanya.
Beliau turut menyeru rakyat Sarawak supaya terus bersatu, menolak perpecahan politik yang dibawa dari luar serta mempertahankan prinsip Sarawak First.
“Marilah kita terus bersatu dan menjunjung prinsip Sarawak First, Sarawak untuk rakyat Sarawak. Segulai Sejalai menuju Sarawak Maju Makmur,” katanya.
Oleh Connie Chieng




