KABONG, 30 Oktober: Majlis Khatam al-Quran yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan (SK) Haji Junid Gerigat semalam berlangsung meriah dengan penyertaan seramai 23 murid Tahun Enam serta enam pasukan usungan yang mengambil bahagian dalam pertandingan usungan bagi memeriahkan acara tahunan tersebut.
Penyandang Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir berkata, penganjuran program seumpama itu merupakan satu usaha murni dalam melahirkan generasi yang mencintai al-Quran, menghayati ajaran Islam serta membentuk sahsiah dan akhlak terpuji sejak di bangku sekolah.

Menurut beliau, pendidikan agama dan pembentukan nilai-nilai murni perlu diterapkan sejak usia muda agar menjadi panduan dalam kehidupan generasi akan datang.
“Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Pendidikan agama yang diterapkan sejak kecil akan membentuk jati diri serta menjadi benteng dalam menghadapi cabaran kehidupan pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyantuni jemputan ke Majlis Khatam Al-Quran SK Haji Junid Gerigat dekat sini semalam.

Chee Kadir turut merakamkan ucapan tahniah kepada pihak sekolah atas kejayaan menganjurkan program berkenaan yang mendapat sokongan padu daripada pelbagai pihak termasuk guru-guru, ibu bapa, penjaga serta penduduk kampung.
Katanya, kerjasama erat antara pihak sekolah, keluarga dan komuniti setempat amat penting bagi memastikan usaha melahirkan generasi yang berilmu, berakhlak mulia dan berpegang teguh kepada ajaran al-Quran dapat diteruskan secara berkesan.
“Penglibatan semua pihak membuktikan bahawa pendidikan bukan hanya tanggungjawab sekolah semata-mata, tetapi memerlukan sokongan berterusan daripada keluarga dan masyarakat,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada pihak SK Haji Junid Gerigat atas undangan serta komitmen berterusan dalam memperkukuh pendidikan agama dan pembangunan sahsiah murid.
Beliau berharap usaha murni seperti ini akan terus diberkati serta menjadi inspirasi kepada generasi muda untuk menjadikan al-Quran sebagai panduan hidup dalam melangkah ke masa depan.
Oleh Adi Safarman




