Dasar pendidikan percuma Sarawak tarik minat pelabur industri teknologi tinggi – Abang Johari

Facebook
WhatsApp
DATUK Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan tetamu kehormat yang lain bergambar bersama penerima Augerah Tokoh Guru Sarawak pada Majlis Penyampaian Anugerah Khas Premier Sarawak dan Anugerah Pendidikan Sarawak 2026 di Pusat Acara Hikmah Exchange, Kuching, hari ini.

KUCHING, 30 Oktober: Dasar pendidikan tinggi percuma yang diperkenalkan kerajaan Sarawak bukan sahaja membuka peluang lebih luas kepada anak negeri melanjutkan pengajian, malah mula menarik perhatian pelabur antarabangsa dalam sektor teknologi tinggi.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, seorang usahawan terkenal dunia yang ditemuinya bulan lalu menyatakan minat untuk mengembangkan perniagaan berasaskan teknologi tinggi di Sarawak, antaranya kerana tertarik dengan dasar pendidikan percuma negeri itu.

Menurut beliau, pelabur berkenaan melihat dasar tersebut sebagai satu kelebihan kerana Sarawak bukan sekadar menawarkan sumber tenaga, malah turut berusaha melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang mampu mengubah sumber mentah kepada produk bernilai tambah.

“Perkara yang menarik minat saya untuk melabur di Sarawak ialah dasar pendidikan percuma kerana negeri ini mempunyai rakyat yang mampu menukar sumber kepada produk akhir,” katanya memetik perbualannya dengan usahawan berkenaan.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Anugerah Khas Premier Sarawak dan Anugerah Pendidikan Sarawak 2026 di Pusat Acara Hikmah Exchange, Kuching, hari ini.

DATUK Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika berucap pada Majlis Penyampaian Anugerah Khas Premier Sarawak dan Anugerah Pendidikan Sarawak 2026 di Pusat Acara Hikmah Exchange, Kuching, hari ini.

Abang Johari berkata, perkembangan ekonomi baharu yang berteraskan semikonduktor, mikroelektronik, kecerdasan buatan (AI) dan teknologi digital memerlukan tenaga kerja yang mempunyai asas kukuh dalam bidang sains, matematik dan teknologi.

Katanya, Sarawak perlu menyediakan generasi muda dengan kepakaran dalam bidang berkenaan bagi membolehkan negeri ini bersaing dan memainkan peranan lebih besar dalam ekonomi global.

Beliau berkata, kerajaan negeri turut memperuntukkan RM200 juta dalam Belanjawan 2027 bagi membiayai pendidikan tinggi percuma kepada kira-kira 10,000 anak Sarawak yang melanjutkan pengajian di universiti milik negeri, tanpa mengira kaum dan latar belakang keluarga.

Selain itu, katanya, kerajaan negeri sedang memperkukuh penyediaan tenaga pakar dalam bidang perubatan dengan meminta Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) menyediakan 80 tempat untuk pelajar Sarawak mengikuti pengajian perubatan, dengan kos ditanggung kerajaan negeri.

“Ini satu daripada cara penyelesaian dalam sektor penjagaan kesihatan. Kita mesti menyediakan kepakaran sendiri dan di sinilah Sarawak menggunakan sumber yang ada untuk melabur dalam pendidikan,” katanya.

Beliau berkata, pelaburan dalam pendidikan merupakan langkah strategik untuk memastikan anak Sarawak bukan sahaja mendapat peluang melanjutkan pengajian, malah mampu memenuhi keperluan tenaga kerja dalam industri baharu yang bakal memacu pertumbuhan ekonomi negeri.

Abang Johari menegaskan masa depan Sarawak bergantung kepada kualiti modal insan yang dilahirkan melalui sistem pendidikan yang mampu memenuhi perubahan keperluan ekonomi semasa dan akan datang.

Oleh Shahrul Qaizat