MIRI, 30 Oktober: Gara-gara tuntutan hutang pinjaman wang dalam talian, empat lelaki tempatan ditahan selepas dipercayai terbabit dalam kegiatan menyimbah cat merah di sebuah rumah di Jalan Acorus 7, di sini.
Keempat-empat suspek berusia antara 25 hingga 32 tahun itu ditahan dalam empat siri operasi di kawasan Kampung Pujut Tanjong Batu di sini 23 dan 26 Oktober lalu.
Ketua Polis Daerah, ACP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada seorang lelaki tempatan berusia 54 tahun pada 22 Oktober lalu.
Menurutnya, mangsa menyedari kejadian tersebut pada 21 Oktober kira-kira 10.00 malam ketika memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kediamannya.
“Rakaman CCTV menunjukkan dua lelaki tidak dikenali datang ke rumah berkenaan sebelum salah seorang daripada mereka menyimbah cat merah pada pintu pagar dan lantai di bahagian hadapan rumah.
“Mangsa sebelum itu turut menerima mesej daripada individu menggunakan nama ‘Kelvin’ yang menuntut bayaran hutang pinjaman wang dalam talian serta mengandungi unsur ugutan sekiranya bayaran tidak dijelaskan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Farhan berkata, siasatan mendapati anak lelaki pengadu pernah membuat pinjaman wang dalam talian daripada individu dipercayai terbabit dalam kegiatan pemberian pinjaman wang tanpa lesen.
“Bagaimanapun, walaupun hutang terdahulu didakwa sudah diselesaikan, anak pengadu memaklumkan dia membuat satu lagi pinjaman sebanyak RM200 daripada pemberi pinjaman lain,”katanya.
Mohd Farhan berkata, hasil soal siasat mendapati keempat-empat suspek terbabit dalam dua kes khianat simbah cat yang dilaporkan pada 20 dan 22 Oktober lalu.
“Polis turut merampas beberapa telefon bimbit, pakaian, selipar, dua motosikal dan dua topi keledar yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian,”ujarnya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak melayan sebarang ugutan atau tuntutan mencurigakan berkaitan pinjaman wang dalam talian, sebaliknya segera membuat laporan polis sekiranya menjadi mangsa.
Oleh Liong Chai Ling




