Jambatan Batang Paloh: Sejarah tercipta, jasa dikenang, perjuangan dihargai

Facebook
WhatsApp
SEJARAH TERCIPTA... Jambatan Batang Paloh dijadual dibuka kepada laluan awam pada 30 Oktober 2026, sekali gus menandakan perkembangan penting dalam kemudahan perhubungan masyarakat setempat. Foto JKR

PEMBUKAAN Jambatan Batang Paloh untuk laluan awam pada esok hari, 30 Oktober 2026 adalah satu detik yang amat bermakna dalam sejarah masyarakat setempat.

Ia bukan sekadar sebuah jambatan yang menghubungkan dua kawasan, tetapi turut menjadi simbol harapan, kemajuan dan penantian panjang rakyat yang akhirnya semakin hampir menjadi kenyataan.

Di sebalik terbinanya sebuah jambatan, tersimpan seribu cerita tentang harapan penduduk, pengorbanan masyarakat, usaha pemimpin dan doa generasi terdahulu yang mengimpikan kemudahan perhubungan yang lebih baik untuk anak cucu mereka.

Setulus penghargaan juga ditujukan kepada semua khasnya penyandang DUN Semop, Datuk Abdullah Saidol; Ahli Parlimen Tanjung Manis, Dato Yusuf Wahab, barisan pemimpin terdahulu dan semasa, pemimpin masyarakat, Tuai Rumah, Penghulu, Ketua Kaum serta seluruh pemimpin di kampung-kampung sekitar DUN Semop.

Sama ada mereka masih bersama kita hari ini ataupun telah kembali ke rahmatullah, jasa dan sumbangan mereka tetap terpahat dalam ingatan masyarakat.

Kita mungkin berbeza pandangan, berbeza pilihan dan berbeza perjalanan perjuangan.

Namun, apabila berbicara tentang jasa kepada masyarakat, sewajarnya kita memberikan penghormatan kepada setiap insan yang pernah menyumbang tenaga, masa, fikiran dan pengorbanan demi kemajuan kampung halaman.

Ada yang berjuang melalui jawatan dan kepimpinan. Ada yang bekerja dalam diam, menyuarakan keluhan rakyat, membawa masalah kampung ke peringkat lebih tinggi dan menjadi penghubung antara masyarakat dengan pihak kerajaan.

Ada juga yang telah pergi buat selama-lamanya, tetapi usaha dan perjuangan mereka masih dapat dirasai oleh generasi hari ini.

Kepada mereka yang telah mendahului kita, semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh mereka, mengampuni segala dosa dan menempatkan mereka dalam kalangan orang-orang yang beriman.

Sesungguhnya, jasa yang ikhlas tidak akan hilang hanya kerana seseorang itu sudah tiada.

Kepada semua pemimpin yang masih meneruskan khidmat, terima kasih kerana terus berusaha, mendengar suara rakyat dan membawa harapan masyarakat ke hadapan.

Semoga amanah yang dipikul sentiasa dilaksanakan dengan penuh keikhlasan, kebijaksanaan dan rasa tanggungjawab.

Bagi pihak seluruh penduduk DUN Semop dan warga sekitarnya , kami merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan Sarawak, GPS, semua YB, pemimpin masyarakat serta setiap individu yang telah memainkan peranan dalam perjalanan pembangunan kawasan ini.

Kami tidak menilai jasa hanya berdasarkan nama, pangkat atau kedudukan. Kami menghargai setiap usaha yang membawa manfaat kepada rakyat, tanpa melupakan mereka yang pernah membuka jalan sebelum kita menikmati kemudahan pada hari ini.

Ucapan terima kasih kepada kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) atas segala usaha, komitmen dan pembangunan yang telah dilaksanakan demi kesejahteraan rakyat, khususnya penduduk Pulau Bruit, Matu, Daro dan seluruh warga di sekitar kawasan DUN Semop.

Akhirnya, semoga pilihan raya negeri tidak lama lagi akan menjadi ruang untuk kita mengenang segala jasa, menilai perjalanan yang telah dilalui dan terus melangkah dengan harapan yang lebih besar demi masa depan Sarawak, khususnya Pulau Bruit dan DUN Semop.

Jambatan boleh menghubungkan dua tebing, tetapi keikhlasan dan jasa pemimpinlah yang menghubungkan hati mereka dengan rakyat.

Jasa dikenang, budi disanjung, pengorbanan dihargai. Terima kasih atas segala khidmat dan perjuangan.

Semoga segala kebaikan yang dicurahkan menjadi amal jariah dan meninggalkan legasi yang membanggakan untuk generasi akan datang.

Oleh Mohd Adenan Zulkeppli