PETRA JAYA, 29 Oktober: Persidangan Himpunan Wanita Antarabangsa Asia Selatan (SIWA) 2026 menyasarkan penyertaan seramai 374 peserta, termasuk 24 peserta antarabangsa dari sembilan negara, pada program yang dijadual berlangsung di Hotel Riverside Majestic di sini, dari 17 hingga 19 November depan.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, persidangan anjuran Persatuan Wanita India Sarawak itu bertujuan memperkasa wanita menerusi keusahawanan, perkongsian ilmu dan jaringan kerjasama di peringkat kebangsaan serta antarabangsa.
Beliau berkata, daripada jumlah sasaran itu, seramai 200 peserta dijangka dari Sarawak, 150 dari Semenanjung Malaysia dan 24 peserta antarabangsa.
Menurutnya, antara cabaran utama penganjuran ialah peningkatan kos tiket penerbangan antarabangsa susulan konflik geopolitik global, selain kekangan kewangan yang dihadapi jawatankuasa pengelola sejak perancangan awal pada September 2025.

“Namun, saya amat kagum melihat semangat juang yang tinggi daripada jawatankuasa ini. Walaupun berdepan pelbagai kekangan bajet sejak perancangan awal pada September 2025, mereka tidak mudah mengalah,” katanya pada sidang media berkaitan SIWA 2026 di Bilik Mesyuarat Wisma Wanita, di sini.
Fatimah berkata, penganjuran itu menerima sokongan dan sumbangan dana daripada kementerian, kepimpinan negeri serta pelbagai pihak, termasuk Premier Sarawak dan Timbalan-timbalan Premier Sarawak.
Beliau turut memaklumkan bahawa beliau sendiri menyumbang dana secara peribadi bagi membantu meringankan beban kewangan penganjuran program berkenaan.
Katanya, sokongan daripada badan korporat dan komuniti lain turut diharapkan bagi memastikan kelancaran persidangan itu.
Beliau berkata, penganjuran SIWA 2026 bukan sekadar memberi tumpuan kepada acara bertaraf antarabangsa, malah membuka peluang untuk mengetengahkan produk tempatan wanita Sarawak kepada masyarakat global.

Menurutnya, pengiktirafan dan penyertaan komuniti antarabangsa mampu memberikan impak jangka panjang kepada wanita tempatan, khususnya dalam membina rangkaian kerjasama dan mengembangkan potensi keusahawanan.
Persidangan itu turut menampilkan sesi bertemakan Membina Masa Depan Mampan, yang memberi tumpuan kepada biodiversiti, alam sekitar, kepimpinan wanita Asia Selatan di kawasan luar bandar dan ekopelancongan.
Antara pengisian yang dirancang ialah perkongsian utama oleh Seema Bhatt serta perbincangan panel bersama Dr. Lalitha, Dr. Fency dari Lembaga Pelancongan Sarawak dan Teenah Jutton.
Fatimah berkata, usaha jawatankuasa pengelola membuktikan bahawa persatuan wanita yang kecil juga mampu menganjurkan program berskala besar melalui perpaduan, iltizam tinggi dan ketabahan.
“Ini boleh menjadi tanda aras kepada persatuan-persatuan lain tentang maksud ketahanan dan komitmen yang sebenar,” katanya.
Oleh Shikin Mahmud





