Jaringan jarak jauh Choe ranapkan harapan The Cats, tewas 0-1

Facebook
WhatsApp
KUCHING City FC terpaksa akur tewas 0-1 kepada Gangwon FC dalam aksi Kumpulan H Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL Two) di Stadium Gangneung, Korea Selatan, selepas jaringan jarak jauh Choe Byeong-chan pada minit ke-27 menjadi pemisah antara kedua-dua pasukan. Foto Kuching City FC.

GANGNEUNG, 29 Oktober : Kuching City FC gagal membawa pulang mata dari Korea Selatan apabila tewas 0-1 kepada Gangwon FC dalam aksi Kumpulan H Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) di Stadium Gangneung, malam ini.

Gangwon memulakan perlawanan dengan lebih agresif apabila beberapa kali mengasak benteng The Cats, termasuk menghasilkan dua percubaan awal yang hampir menembusi gawang pelawat sebelum Choe Byeong-chan memecah kebuntuan pada minit ke-27.

Jaringan itu terhasil menerusi gerakan satu-dua bersama Kang Joon-hyuk sebelum Choe melepaskan rembatan kencang menggunakan kaki kanan dari luar kotak penalti yang gagal diselamatkan penjaga gol Kuching City, Haziq Nadzli.

Ketinggalan satu gol, Kuching City cuba mencari ruang untuk membina serangan balas, namun Gangwon terus memberi tekanan sehingga tamat separuh masa pertama.

Memasuki babak kedua, skuad kendalian Aidil Sharin Sahak melakukan beberapa pertukaran pemain bagi menyegarkan pasukan dan meningkatkan ancaman ke kubu tuan rumah.

Ramadhan Saifullah antara pemain yang berusaha mencari gol penyamaan apabila menghasilkan dua percubaan ke arah gawang, manakala Dylan Wenzel-Halls turut mencatatkan satu percubaan sebelum dikeluarkan pada minit ke-61 untuk memberi laluan kepada Joao Pedro.

Kuching City terus berusaha mencari gol penyamaan, namun barisan pertahanan Gangwon berjaya mengekalkan kelebihan mereka sehingga wisel penamat untuk memastikan kemenangan di laman sendiri.

Statistik perlawanan menunjukkan Gangwon menghasilkan 15 percubaan, dengan tiga tepat ke sasaran, manakala Kuching City mencatatkan lapan percubaan termasuk dua tepat ke sasaran.

Dari segi disiplin, Gangwon menerima dua kad kuning menerusi Lee Seung-won dan Choe Byeong-chan, manakala Kuching City menamatkan perlawanan tanpa sebarang layangan kad kuning.

The Cats turut berdepan cabaran beraksi dalam cuaca sejuk sekitar 12 darjah Celsius di Gangneung. Persiapan pasukan juga dibayangi isu kecergasan beberapa pemain, termasuk Safawi Rasid yang mengalami kecederaan hamstring serta keraguan terhadap tahap kecergasan Ronald Ngah Wanja dan Joao Pedro.

Kekalahan itu menyaksikan Kuching City kekal dengan satu mata selepas tiga perlawanan Kumpulan H, susulan kekalahan 1-2 kepada Phnom Penh Crown dalam aksi pembukaan dan keputusan seri 1-1 menentang Kitchee SC.

The Cats dijadual menerima kunjungan Gangwon dalam aksi timbal balik di Kuching pada 5 November ini, dengan peluang memburu kemenangan di laman sendiri menjadi tumpuan selepas keputusan di Korea Selatan itu.