PETRA JAYA, 29 Oktober: Kes penemuan bayi lelaki yang baru dilahirkan dan ditemukan masih bernyawa dalam keadaan tertimbus di dalam tanah berhampiran sebuah rumah sewa di Jalan Airport, Kapit, mengundang kebimbangan terhadap keselamatan kanak-kanak serta keperluan memperkukuh bantuan kepada wanita yang berdepan krisis.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, keselamatan dan nyawa kanak-kanak mesti diutamakan pada setiap masa, manakala wanita atau ibu yang menghadapi kehamilan sukar dan tekanan emosi perlu diberikan bantuan sewajarnya.
Beliau berkata, pihak berkuasa perlu diberi ruang menjalankan siasatan secara menyeluruh, profesional dan adil tanpa sebarang andaian dibuat sebelum fakta sebenar dikenal pasti.
“Saya ingin menegaskan bahawa setiap kanak-kanak mempunyai hak untuk hidup, dilindungi dan membesar dalam persekitaran yang selamat. Tiada keadaan yang boleh dijadikan alasan untuk membiarkan bayi atau kanak-kanak terdedah kepada bahaya,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Fatimah turut merakamkan penghargaan kepada anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menemukan bayi berkenaan dan bertindak mendapatkan bantuan, sambil berharap bayi itu menerima rawatan terbaik.
Menurut laporan polis, bayi lelaki itu ditemukan kira-kira 2.30 petang semalam selepas anggota polis yang menjalankan pencarian terdengar tangisannya. Bayi berkenaan dilaporkan berada dalam keadaan kritikal sebelum dihantar ke Hospital Sibu untuk rawatan lanjut.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan. Polis turut memaklumkan bahawa seorang wanita telah dikenal pasti, namun keterangannya belum direkodkan ketika itu kerana masih menerima rawatan di hospital.
Fatimah berkata, usaha pencegahan perlu diperkukuh bagi menangani isu kehamilan remaja dan pembuangan bayi, termasuk menerusi Jawatankuasa Satu Hentian Kehamilan Remaja (OSTPC).
Beliau berkata, jumlah kes kehamilan remaja di Sarawak menurun daripada 3,401 kes pada 2014 kepada 1,770 kes pada 2025, iaitu pengurangan sebanyak 43 peratus.
Katanya, di sebalik sesuatu krisis, mungkin terdapat wanita atau ibu yang berhadapan ketakutan, tekanan emosi, kehamilan tidak dirancang, masalah keluarga, stigma masyarakat atau keadaan hidup yang sukar.
“Kita tidak mengetahui sepenuhnya keadaan yang membawa kepada kejadian ini, dan kita tidak harus membuat andaian mengenainya.
“Bagaimanapun, saya ingin menegaskan bahawa mendapatkan bantuan adalah pilihan yang sentiasa lebih baik daripada menghadapi krisis seorang diri sehingga keselamatan ibu atau bayi terancam,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru wanita, remaja atau ibu yang berdepan kehamilan sukar, tekanan emosi atau masalah keluarga supaya mendapatkan bantuan daripada Jabatan Kesihatan, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan agensi berkaitan.
Bantuan yang boleh dipertimbangkan mengikut keperluan setiap kes termasuk rawatan kesihatan, kaunseling, sokongan psikososial, penilaian kebajikan, perlindungan sementara serta rujukan kepada perkhidmatan berkaitan.
Beliau turut menggesa ahli keluarga, rakan, jiran dan masyarakat supaya peka terhadap individu yang berdepan krisis dengan memberikan sokongan serta membantu mereka mendapatkan bantuan profesional, bukannya menghukum atau memalukan mereka.
Orang ramai yang mengetahui atau mengesyaki bayi atau kanak-kanak berada dalam bahaya diminta segera melaporkannya kepada polis atau Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Mereka juga boleh menghubungi Talian Kasih menerusi talian 15999 atau WhatsApp 019-261 5999 bagi mendapatkan bantuan berkaitan penderaan, pengabaian kanak-kanak, pembuangan bayi dan isu kebajikan.
Fatimah turut mengingatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan gambar, identiti atau maklumat yang belum disahkan berkaitan kejadian itu bagi melindungi privasi pihak terlibat dan mengelakkan penderitaan berterusan.
“Kita mesti tegas dalam melindungi kanak-kanak, tetapi pada masa yang sama memastikan bahawa wanita dan ibu yang berada dalam krisis mempunyai akses kepada bantuan, sokongan dan jalan keluar.
“Keselamatan setiap kanak-kanak ialah tanggungjawab kita bersama,” katanya.
Oleh Shikin Mahmud



