Sarawak semakin makmur, tetapi sejauh mana rakyat menikmati kekayaannya?

Facebook
WhatsApp

EKONOMI Sarawak sering disebut sebagai semakin makmur, akan tetapi terdapat beberapa aspek seperti kos sara hidup, pekerjaan dan cabaran agihan kemakmuran menjelang Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030) sering dibincangkan dalam pelbagai media. 

Sememangnya pertumbuhan ekonomi sering menjadi bahasa paling meyakinkan untuk mengukur kemajuan sesebuah negeri. Namun, di rumah panjang, kampung pesisir, kawasan pedalaman dan taman perumahan bandar Sarawak, ukuran kemakmuran jauh lebih sederhana dan banyak persoalan seperti cukupkah pendapatan untuk membeli makanan, membayar bil, membesarkan anak dan menyimpan sedikit wang menjelang hujung bulan?

Persoalan ini semakin mendesak apabila ekonomi Sarawak berkembang, tetapi pengalaman kehidupan antara isi rumah tidak semestinya bergerak sepantas angka Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), KDNK Sarawak berkembang 3.6 peratus pada 2025 kepada RM153.5 bilion, berbanding RM148.2 bilion pada 2024.

Pertumbuhan itu positif, walaupun lebih rendah daripada kadar nasional 5.2 peratus. KDNK per kapita Sarawak pula mencecah sekitar RM73,784, melebihi paras Malaysia RM59,186. Angka tersebut memperlihatkan kekuatan ekonomi negeri yang memiliki sumber asli, tenaga, kegiatan perindustrian dan potensi perdagangan yang besar.

Realiti ekonomi

Namun, KDNK per kapita bukanlah pendapatan yang benar-benar masuk ke akaun bank setiap penduduk. Nilai pengeluaran petroleum, gas dan industri berintensif modal boleh meningkatkan pengeluaran ekonomi tanpa menghasilkan pertambahan pekerjaan atau gaji pada kadar yang sama.

Oleh itu, persoalan sebenar bukan sekadar berapa besar kek ekonomi Sarawak, tetapi pihak mana atau kelompok individu manakah  yang menikmati pertambahannya, melalui apa-apa pekerjaan manakala daerah mana lebih merasakannya?

Laporan Survei Pendapatan Isi Rumah 2024 DOSM menunjukkan pendapatan kasar bulanan penengah isi rumah Sarawak ialah RM5,504, manakala puratanya RM6,947. Pendapatan boleh guna penengah pula sekitar RM4,742.

Sebagai perbandingan, pendapatan kasar isi rumah penengah negara ialah RM7,017. Ini bukan bukti bahawa tiada peningkatan; pendapatan penengah Sarawak meningkat daripada RM4,978 pada 2022. Namun, jurang dengan purata kebangsaan memperlihatkan cabaran mengalirkan nilai ekonomi negeri kepada kuasa beli keluarga biasa.

Jurang perbezaan

Gambaran tersebut lebih jelas menerusi upah pekerja. Survei Gaji dan Upah 2025 DOSM merekodkan gaji bulanan penengah pekerja warganegara di Sarawak sebanyak RM2,707, meningkat daripada RM2,490 pada 2024, tetapi masih di bawah angka nasional RM2,940.

Bezanya RM233 sebulan mungkin kelihatan kecil dalam perbahasan makroekonomi, namun besar ertinya kepada pekerja muda yang menanggung sewa, pengangkutan, pinjaman pendidikan dan keperluan keluarga. Pertumbuhan ekonomi perlu dinilai melalui pertumbuhan gaji benar, bukan gaji nominal semata-mata.

Dari segi pekerjaan, kadar pengangguran Sarawak pada 2025 ialah 3.2 peratus berbanding 3.0 peratus di peringkat negara. Perbezaannya tidak besar, tetapi kadar pengangguran sahaja tidak menerangkan mutu pekerjaan, ketidakpadanan kemahiran atau graduan yang bekerja di bawah kelayakan.

Anak muda Sarawak tidak sepatutnya terpaksa memilih antara menerima pekerjaan bergaji rendah di tempat asal dengan berhijrah demi peluang profesional. Pembangunan mesti menyediakan laluan kerjaya yang munasabah di Kuching, Miri, Bintulu, Sibu dan juga kawasan yang jauh dari pusat pertumbuhan.

Kos sara hidup

Kebimbangan kedua ialah kos sara hidup. DOSM merekodkan purata perbelanjaan penggunaan isi rumah Sarawak meningkat daripada RM3,915 pada 2022 kepada RM4,281 pada 2024.

Hampir 69.6 peratus perbelanjaan tertumpu kepada perumahan dan utiliti, makanan dan minuman, restoran dan penginapan serta pengangkutan. Perumahan dan utiliti sahaja menyumbang 25 peratus, manakala makanan dan minuman 22.5 peratus.

Apabila keperluan asas menyerap sebahagian besar perbelanjaan, ruang untuk pendidikan tambahan, simpanan kecemasan dan mobiliti sosial menjadi terbatas.

Inflasi negara pada September 2026 direkodkan 1.8 peratus. Kadar yang sederhana tidak bermakna harga kembali murah, ia sekadar menunjukkan kadar kenaikan harga lebih perlahan berbanding tempoh tertentu.

Dalam negeri yang luas seperti Sarawak, kos penghantaran, jarak perjalanan, keadaan jalan dan capaian pasaran menjadikan tekanan kehidupan berbeza antara bandar, luar bandar dan pedalaman.

Malah, indeks Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar DOSM yang relatif lebih rendah bagi Sarawak tidak dengan sendirinya membuktikan semua isi rumah mampu menanggung keperluan mereka; kemampuan mesti diukur bersama pendapatan setempat.

Cuba bandingkan harga telur gred C dan harga daging sekilo di Semenanjung Malaysia yang jurang harga terlalu besar dan mahal. Pada masa sama, penilaian perlu adil terhadap pencapaian yang telah berlaku.

Kadar kemiskinan mutlak Sarawak menurun daripada 10.8 peratus pada 2022 kepada 8.4 peratus pada 2024. Namun, kemiskinan luar bandar masih 10.4 peratus berbanding 7.0 peratus di bandar. Kemajuan statistik ini penting, tetapi belum membenarkan kita menganggap jurang wilayah telah selesai.

Perbezaan antara daerah

Perbezaan antara daerah lebih membuka mata apabila data DOSM bagi 2024 menunjukkan pendapatan isi rumah penengah Bintulu RM8,317, sedangkan Mukah RM5,169 dan Dalat RM4,614.

Sebanyak 34 daerah mencatat pendapatan penengah di bawah paras negeri yang menunjukkan bahawa pembangunan yang tertumpu di koridor perindustrian belum tentu memberi pulangan seimbang kepada petani, nelayan, pekebun kecil, peniaga mikro dan masyarakat pedalaman.

Sarawak memerlukan dasar ekonomi yang memahami geografi, bukannya pendekatan seragam untuk semua daerah.

Peluang luas perlu dilonjak

Struktur KDNK juga perlu diberikan perhatian. Pada 2025, perkhidmatan berkembang 5.4 peratus dan pembinaan 10.9 peratus, sedangkan pembuatan hanya 0.1 peratus.

Sarawak tidak boleh terlalu bergantung kepada projek besar dan aktiviti pengeluaran sumber tanpa mengembangkan rantaian nilai tempatan.

Peluang kejuruteraan, pemprosesan makanan, teknologi digital, penyelenggaraan industri, logistik dan penyelidikan harus lebih banyak melibatkan perusahaan kecil dan sederhana milik rakyat tempatan.

Di sinilah PCDS 2030 mesti diuji melalui hasil yang boleh dirasai. Dokumen perancangan Sarawak menetapkan aspirasi pendapatan isi rumah penengah RM15,000 sebulan menjelang 2030, di samping peningkatan pekerjaan dan tenaga kerja mahir.

Sasaran ini mencerminkan cita-cita tinggi. Namun, daripada asas RM5,504 pada 2024, lonjakannya amat besar. Maka, kerajaan, majikan, institusi pendidikan dan pelabur perlu menjelaskan pencapaian tahunan yang realistik, bukan hanya mengulangi angka sasaran.

Keutamaan pertama mestilah produktiviti yang menaikkan upah. Pelaburan baharu wajar dipautkan kepada latihan teknikal, perantisan berbayar, pensijilan kemahiran, pekerjaan profesional dan kenaikan gaji berasaskan peningkatan nilai kerja.

Kontrak projek besar perlu membuka ruang pembekalan yang telus kepada firma tempatan. Universiti, politeknik dan pusat latihan pula harus membina kerjasama langsung dengan industri tenaga baharu, semikonduktor, ekonomi digital, pertanian pintar dan pembuatan bernilai tambah.

Beban kehidupan secara bersasar.

Keutamaan kedua ialah mengurangkan beban kehidupan secara bersasar. Diskaun bil elektrik 25 peratus bagi pengguna domestik Sarawak dari April hingga Disember 2026, yang menurut DOSM memanfaatkan sekitar 714,000 isi rumah, ialah bentuk kelegaan yang wajar diambil kira.

Namun, bantuan sementara perlu dilengkapkan dengan penyelesaian jangka panjang, aspek perumahan mampu milik, rangkaian pengangkutan lebih cekap, logistik makanan, persaingan pasaran yang sihat dan kemudahan asas di daerah terpencil.

Keutamaan ketiga ialah ketelusan agihan manfaat. Prestasi PCDS 2030 tidak memadai dilaporkan melalui KDNK, jumlah pelaburan atau bilangan projek.

Rakyat juga berhak melihat papan pemuka tahunan yang memaparkan pendapatan boleh guna penengah, gaji benar, pekerjaan mahir untuk anak tempatan, kadar kemiskinan mengikut daerah serta penglibatan perusahaan setempat dalam kontrak dan rantaian bekalan.

Penilaian berasaskan hasil akan membolehkan dasar diselaraskan sebelum jurang sosial menjadi lebih mendalam.

Sarawak mempunyai asas ekonomi dan sumber fiskal untuk memperluas kesejahteraan. Namun, makna kemakmuran tidak berakhir pada peningkatan nilai pengeluaran atau pengumuman pelaburan.

Kejayaannya harus terbukti apabila keluarga berpendapatan sederhana dapat hidup lebih selesa, anak muda memperoleh pekerjaan setimpal dan masyarakat pedalaman tidak tertinggal daripada arus perubahan.

KDNK yang berkembang ialah pencapaian penting; pendapatan yang bermaruah, kehidupan yang mampu ditanggung dan peluang dikongsi lebih adil ialah ukuran pembangunan sebenar. Inilah tuntutan pembangunan inklusif yang wajar menjadi ukuran bersama menjelang 2030, merentasi bandar, luar bandar dan pedalaman Sarawak.

Rumusan

Maka, PCDS 2030 perlu menjadi lebih daripada sebuah kerangka pembangunan ekonomi yang bercita-cita tinggi. Ia mesti menjadi agenda transformasi sosial yang meletakkan kesejahteraan rakyat sebagai ukuran utama keberhasilan dasar.

Sarawak perlu bergerak daripada ekonomi yang kaya dengan sumber kepada ekonomi yang kaya dengan peluang daripada pertumbuhan yang dipacu pelaburan kepada kemajuan yang turut dipacu produktiviti, inovasi dan peningkatan pendapatan rakyat.

Kejayaan pembangunan tidak sepatutnya dinilai berdasarkan berapa banyak kekayaan dihasilkan semata-mata, tetapi juga berapa luas manfaatnya diagihkan dan berapa ramai rakyat berjaya meningkatkan taraf kehidupan.

Hakikatnya masa depan Sarawak tidak hanya ditentukan oleh keupayaannya menjadi negeri berpendapatan tinggi, tetapi oleh kejayaannya membina masyarakat yang turut menikmati taraf hidup tinggi.

Inilah perbezaan antara pertumbuhan dengan pembangunan, antara kekayaan dengan kesejahteraan, dan antara kemajuan ekonomi dengan kemakmuran yang inklusif.

Menjelang 2030, persoalan paling penting bukan sekadar sama ada Sarawak semakin kaya, tetapi sama ada kehidupan rakyatnya benar-benar semakin baik keerana pembangunan yang paling bermakna bukanlah pembangunan yang sekadar mengangkat angka ekonomi, tetapi pembangunan yang mengangkat martabat manusia.

  • Datuk Profesor Dr Awang Azman Awang Pawi adalah ahli akademik di Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau kini ialah Ahli Majlis Penasihat Perpaduan Negara  dan  Felo Kanan Akademi Kenegaraan Malaysia. Baru-baru ini beliau menerima Anugerah Buku Terbaik Premier Sarawak.