KUCHING, 28 Oktober: Seramai 9,979 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) disenaraikan bagi penugasan keselamatan sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13.
Pemangku Pesuruhjaya Polis Sarawak, DCP Saifullizan Ishak, berkata penugasan anggota polis penting bagi memastikan proses pilihan raya berlangsung lancar, teratur dan selamat.
“Penugasan anggota polis akan memberi tumpuan kepada aspek keselamatan bagi memastikan keadaan terkawal serta orang ramai dapat menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi dalam suasana aman,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di sini, hari ini.
PRN Sarawak Ke-13 akan menyaksikan pertandingan bagi 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), dengan 2,051,596 pengundi berdaftar berdasarkan statistik daftar pemilih terkini sehingga 31 Ogos 2026.
Daripada jumlah itu, seramai 2,027,093 merupakan pengundi biasa, manakala 10,925 terdiri daripada pemilih polis dan pasangan serta 13,578 pemilih tentera dan pasangan.
Sebanyak 1,943 pusat mengundi biasa dan 83 pusat mengundi awal disediakan bagi proses pengundian.
Sebanyak 4,482 saluran mengundi biasa dan 106 saluran mengundi awal turut disediakan, selain 1,448 peti undi biasa dan 20 peti undi awal.
Daripada jumlah pusat mengundi biasa, sebanyak 1,128 terletak di sekolah, 463 di rumah panjang, 206 di dewan, 97 di balai raya dan 49 di lokasi lain.
Sementara itu, seramai 7,469 petugas PPN dan 2,510 petugas harian disenaraikan, selain keperluan 889 petugas tambahan dari luar bagi memenuhi keperluan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Oleh Norman B




