Perangkap konsumerisme: Kemudahan digital dan perangkap hutang

Facebook
WhatsApp

DALAM masyarakat moden, kemiskinan tidak lagi boleh difahami semata-mata sebagai ketiadaan wang, tetapi juga melalui tekanan sosial untuk kelihatan mampu walaupun hakikatnya tidak berkemampuan.

Fenomena Beli Sekarang Bayar Kemudian atau Buy Now, Pay Later (BNPL) memperlihatkan bahawa aspek teknologi kewangan bukan sahaja mengubah cara manusia berbelanja, malah sedang membentuk semula nilai, identiti, aspirasi dan hubungan sosial masyarakat Malaysia.

Lebih membimbangkan, kemudahan kredit digital yang pada awalnya diperkenalkan untuk memudahkan urusan pembayaran berpotensi melahirkan generasi yang menganggap hutang sebagai sebahagian daripada gaya hidup normal.

Persoalan mendasarnya bukan sekadar persoalan mengenai masyarakat kini semakin banyak berhutang, tetapi persoalan masyarakat yang semakin berasa mereka perlu membeli sesuatu untuk membuktikan nilai diri dalam kehidupan sosial.

Statistik membimbangkan

Berdasarkan statistik melalui jawapan di Dewan Rakyat pada 19 Oktober 2026 memberikan gambaran membimbangkan. Sepanjang Januari hingga Jun 2026, sebanyak 173.9 juta transaksi BNPL direkodkan dengan nilai RM14.7 bilion, meningkat 23.9 peratus dari segi bilangan transaksi berbanding separuh kedua 2025.

Jumlah akaun aktif pula mencapai 9.2 juta, sementara baki pembiayaan meningkat kepada RM6.6 bilion. Hampir 40 peratus transaksi melibatkan golongan berusia 30 tahun ke bawah, manakala sekitar 70 peratus pengguna aktif terdiri daripada kelompok berpendapatan rendah.

MEMBELI telefon kerana diperlukan untuk pekerjaan merupakan keperluan. Namun, menukar telefon yang masih berfungsi semata-mata kerana tekanan mengikuti zaman memperlihatkan penggunaan boleh bertukar menjadi persaingan simbolik.

Angka tersebut bukan sekadar mencerminkan pertumbuhan industri kewangan digital. Ia membuka persoalan tentang perubahan struktur sosial, kedudukan kelas dan tahap kerentanan ekonomi rakyat.

Perspektif sosiologi

Perkembangan BNPL perlu difahami melalui konsep masyarakat pengguna atau consumer society, apabila penggunaan barangan bukan lagi bertujuan memenuhi keperluan asas semata-mata, sebaliknya menjadi instrumen membina identiti dan memperoleh pengiktirafan sosial.

Ahli sosiologi Thorstein Veblen memperkenalkan konsep conspicuous consumption, iaitu penggunaan yang bertujuan memperlihatkan kedudukan dan prestij.

Dalam masyarakat digital hari ini, konsep tersebut semakin relevan apabila kemewahan bukan sahaja dipamerkan secara fizikal, malah melalui Instagram, TikTok dan pelbagai platform media sosial.

Telefon pintar terkini, pakaian berjenama, percutian dan gaya hidup eksklusif menjadi simbol kejayaan sosial. Individu yang tidak mampu mengikuti corak penggunaan tertentu berisiko mengalami perasaan tersisih, rendah diri atau ketinggalan.

Di sinilah muncul paradoks masyarakat moden yang memperlihatkan seseorang boleh kelihatan mewah di media sosial, tetapi sebenarnya sedang bergelut dengan hutang dalam kehidupan sebenar.

Identiti dan status?

BNPL memudahkan jurang antara kemampuan ekonomi dengan aspirasi sosial itu ditutup buat sementara melalui ansuran kecil. Namun, kemudahan tersebut tidak semestinya meningkatkan kemampuan sebenar seseorang.

Lebih mendalam, ahli sosiologi Pierre Bourdieu menjelaskan bahawa penggunaan mempunyai hubungan dengan pembentukan identiti kelas dan distinction, iaitu usaha membezakan kedudukan sosial melalui cita rasa, pemilikan dan gaya hidup.

Dalam konteks Malaysia, tekanan untuk memperlihatkan kejayaan semakin ketara apabila golongan muda membandingkan kehidupan mereka dengan rakan sebaya yang mempamerkan kemewahan digital.

Keadaan ini melahirkan suatu yang dikenali sebagai kegelisahan status, apabila individu berasa perlu meningkatkan penggunaan demi mengekalkan penerimaan sosial. Budaya tersebut menjadi semakin berbahaya apabila sempadan antara keperluan dan kehendak semakin kabur.

Keperluan atau kehendak

Membeli telefon kerana diperlukan untuk pekerjaan merupakan keperluan. Namun, menukar telefon yang masih berfungsi semata-mata kerana tekanan mengikuti zaman memperlihatkan penggunaan boleh bertukar menjadi persaingan simbolik.

Hakikatnya, BNPL tidak mencipta budaya konsumerisme secara bersendirian, tetapi mempercepatkannya melalui akses kredit yang mudah dan hampir tanpa geseran psikologi.

Dalam ekonomi digital, algoritma turut memainkan peranan penting. Pengiklanan bersasar, promosi masa terhad dan sistem cadangan produk membentuk persekitaran yang sentiasa menggalakkan pembelian.

Apabila pilihan ansuran dipaparkan bersama harga barangan, perhatian pengguna mudah beralih daripada jumlah kos sebenar kepada nilai bayaran bulanan yang kelihatan kecil.

Secara sosiologi, keadaan ini memperlihatkan keputusan individu semakin dipengaruhi struktur teknologi dan kepentingan komersial, bukannya pilihan bebas sepenuhnya.

Namun, menyalahkan generasi muda sebagai boros tanpa memahami realiti ekonomi mereka merupakan penyederhanaan yang tidak adil. Sebahagian besar golongan muda sedang menghadapi ketidakseimbangan antara pendapatan, kos perumahan, pengangkutan, makanan dan tuntutan kehidupan bandar.

Perspektif sosiologi

Dalam kerangka sosiologi struktur, tingkah laku berhutang tidak boleh dipisahkan daripada kedudukan seseorang dalam sistem ekonomi. Individu berpendapatan tinggi berkecenderungan menggunakan BNPL untuk mengurus aliran tunai, sedangkan individu berpendapatan rendah menggunakannya bagi memenuhi keperluan sebelum menerima gaji.

Perbezaan ini penting kerana tindakan yang kelihatan sama boleh mempunyai sebab dan akibat sosial yang berbeza. Apabila hampir 70 peratus pengguna aktif datang daripada kelompok berpendapatan rendah, timbul persoalan lebih besar sama ada BNPL sedang berfungsi sebagai kemudahan pembayaran atau mekanisme menampung kekurangan pendapatan.

Jika kredit semakin diperlukan untuk memenuhi penggunaan asas, masalah sebenar bukan sekadar kelemahan literasi kewangan, tetapi kemungkinan wujudnya ketidakpadanan antara pendapatan rakyat dengan kos kehidupan.

Dalam jangka panjang, keadaan sedemikian boleh memperkukuh ketidaksamaan kelas sosial. Golongan berpendapatan tinggi berpeluang mengumpulkan aset, pelaburan dan simpanan.

Sebaliknya, sebahagian golongan berpendapatan rendah mungkin menggunakan pendapatan masa hadapan untuk membayar penggunaan masa lalu.

Akhirnya, satu kelompok mengumpul kekayaan melalui pemilikan aset, manakala kelompok lain semakin terikat kepada pembayaran hutang penggunaan. Inilah risiko reproduksi ketidaksamaan sosial yang perlu diberikan perhatian serius.

Dari sudut hubungan kekeluargaan, keterhutangan berlebihan turut berpotensi menghasilkan tekanan emosi, konflik rumah tangga dan ketidakstabilan hubungan sosial.

Komitmen kewangan yang bertindih boleh menyebabkan individu kehilangan ruang untuk membina simpanan kecemasan, melanjutkan pendidikan, memiliki rumah atau merancang kehidupan berkeluarga.

Apabila pendapatan masa hadapan semakin banyak diperuntukkan bagi menjelaskan penggunaan semasa, keupayaan mobiliti sosial generasi muda berpotensi semakin terbatas. Mereka mungkin bekerja lebih keras, tetapi sebahagian hasil pekerjaan sudah terlebih dahulu terikat kepada hutang.

Kerentanan kewangan

Daripada perspektif sosiologi, keadaan ini boleh dibaca sebagai bentuk kerentanan kewangan yang semakin dinormalisasikan dalam kehidupan seharian. Walaupun tunggakan BNPL setakat Jun 2026 dilaporkan sekitar RM220.4 juta atau 3.3 peratus baki pembiayaan, angka tersebut belum memadai untuk menggambarkan keseluruhan tekanan sosial yang dialami pengguna.

Ketiadaan tunggakan tidak semestinya bermaksud seseorang berada dalam keadaan kewangan yang sihat. Pengguna mungkin masih membayar ansuran dengan mengorbankan makanan berkualiti, simpanan pendidikan atau keperluan kesihatan.

Maka, ukuran kesejahteraan tidak boleh terbatas kepada kemampuan membayar hutang, tetapi perlu merangkumi kualiti hidup selepas hutang dibayar.

Dalam hal ini, pelaksanaan Akta Kredit Pengguna 2025 dan penubuhan Suruhanjaya Kredit Pengguna merupakan perkembangan positif. Kerangka kawal selia tersebut perlu memastikan penyedia BNPL melaksanakan penilaian kemampuan pengguna, ketelusan caj dan amalan pemberian kredit secara bertanggungjawab.

Perlu penyelesaian

Bagaimanapun, penyelesaian sebenar menuntut pendekatan lebih menyeluruh. Literasi kewangan perlu digabungkan dengan literasi sosiologi penggunaan, khususnya kesedaran tentang bagaimana tekanan rakan sebaya, budaya perbandingan sosial, pengaruh pempengaruh digital dan pemasaran algoritma membentuk keputusan pembelian.

Institusi pendidikan, keluarga, kerajaan dan industri teknologi harus bersama-sama membina budaya yang membezakan antara kejayaan sebenar dengan kemewahan simbolik. Kerajaan juga perlu memperkukuh dasar peningkatan pendapatan, perumahan mampu milik dan perlindungan sosial supaya kredit pengguna tidak menjadi pengganti kepada kesejahteraan ekonomi.

Akhirnya, persoalan BNPL membawa kita kepada perdebatan lebih besar tentang nilai pembangunan negara. Adakah negara  kita sedang melahirkan masyarakat yang benar-benar semakin makmur, atau masyarakat yang semakin mahir menggunakan hutang untuk menampilkan imej kemakmuran?

Kemajuan sesebuah negara tidak seharusnya diukur melalui kepesatan transaksi digital semata-mata, tetapi melalui kemampuan rakyat membina kehidupan bermaruah tanpa dibelenggu keterhutangan berpanjangan.

Nilai kemajuan

Masyarakat yang maju bukanlah masyarakat yang mampu membeli segala-galanya melalui hutang, tetapi masyarakat yang memiliki kebebasan untuk menentukan kehidupan tanpa perlu berhutang demi mendapatkan pengiktirafan sosial.

Justeru, bahaya terbesar BNPL bukan apabila rakyat gagal membayar ansuran, tetapi apabila masyarakat mula menganggap berhutang sebagai sesuatu yang normal, kemewahan sebagai ukuran maruah, dan penggunaan sebagai lambang kejayaan.

Apabila hutang menjadi budaya dan kemewahan menjadi identiti, yang tergadai akhirnya bukan sekadar pendapatan masa hadapan, tetapi kebebasan sosial, maruah ekonomi dan masa depan generasi itu sendiri.

  • Datuk Profesor Dr Awang Azman Awang Pawi adalah ahli akademik di Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau kini ialah Ahli Majlis Penasihat Perpaduan Negara  dan Felo Kanan Akademi Kenegaraan Malaysia. Baru-baru ini beliau menerima Anugerah Buku Terbaik Premier Sarawak.

Mendokumentasi memori kolektif Sarawak

SATU perkara menarik yang berlaku pada minggu lalu ialah perbahasan mengenai Rang Undang-Undang (RUU) Perpustakaan Negeri Sarawak (Pindaan) pada sidang