PULAU BRUIT, 28 Oktober: Jambatan Batang Lassa memudahkan perjalanan penduduk ke Daro, manakala Jambatan Batang Paloh yang bakal dibuka pada 30 Oktober ini dijangka melancarkan akses ke Sarikei dan Sibu serta merancakkan ekonomi setempat.
Bagi Mohamad Said Abd Kadir, 76, dari Kampung Bruit, perubahan tersebut bukan sekadar memudahkan perjalanan ke pasar, malah memberi manfaat kepada generasi anak-anaknya yang turut bergantung pada kegiatan ekonomi tempatan, termasuk menangkap ketam untuk dipasarkan ke luar kawasan.
“Sekarang tidak macam dulu. Dulu pakai bot laju hendak ke Daro.
“Sekarang senang, sudah ada jalan hendak ke sana. Senang hendak ke pasar,” katanya ketika ditemui Utusan Sarawak di kediamannya.

Mohamad Said berkata, kemudahan jalan raya yang tersedia ketika ini memberikan keselesaan kepada penduduk berbanding keadaan dahulu apabila pengangkutan sungai menjadi pilihan untuk berurusan di Daro.
Perubahan itu turut mempunyai kepentingan kepada keluarganya, termasuk anaknya, Omar Mohamad Said, yang sudah lebih sedekad menjalankan kegiatan menangkap ketam dan ikan keli sebagai sumber pendapatan.
Omar memasarkan hasil tangkapan ke Sibu, selain menjualnya dalam kuantiti kecil kepada pembeli lain.
Kegiatan ekonomi keluarga tersebut menjadi antara contoh bagaimana jaringan perhubungan darat yang lebih baik berpotensi memudahkan pergerakan hasil tempatan ke pasaran luar Pulau Bruit.
Sebelum ini, pembukaan Jambatan Batang Lassa sepanjang kira-kira 2.4 kilometer kepada orang ramai pada 9 Januari 2025 telah menyediakan kemudahan hubungan darat antara Pulau Bruit dengan Daro.
Jambatan yang dirasmikan pada 22 Februari 2025 itu menjadi antara komponen penting pembangunan jalan pesisir Sarawak, sekali gus mengurangkan kebergantungan penduduk terhadap pengangkutan sungai.

Kini, Jambatan Batang Paloh sepanjang kira-kira 1.7 kilometer yang dijadualkan dibuka pada 30 Oktober ini dijangka memperkukuh lagi jaringan perhubungan darat dan memudahkan pergerakan penduduk dan pengangkutan barangan.
Pembukaan jambatan tersebut dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 12,000 penduduk daripada 14 penempatan di Pulau Bruit, selain membuka potensi perkembangan kegiatan ekonomi dan akses kepada pelbagai kemudahan.
Sementara itu, mengimbas perjalanan hidupnya, Mohamad Said berkata, beliau pernah bekerja sebagai pengawal keselamatan sekolah selama 16 tahun ketika anak-anaknya masih kecil.
Katanya, selepas menamatkan pekerjaan tersebut, seorang anaknya menggantikan beliau dan kini sudah berkhidmat selama 18 tahun dalam bidang yang sama.
“Anak-anak saya masih kecil dahulu, saya bekerja sebagai pengawal keselamatan sekolah selama 16 tahun.
“Selepas saya menamatkan pekerjaan itu, salah seorang anak saya menggantikan saya. Sekarang sudah 18 tahun dia bekerja sebagai pengawal keselamatan sekolah,” katanya.
Pengalaman Mohamad Said menggambarkan perubahan kehidupan masyarakat Pulau Bruit merentasi generasi, daripada zaman bergantung pada bot laju kepada kemudahan jalan raya yang semakin lengkap.
Dengan pembukaan Jambatan Batang Paloh yang semakin hampir, pembangunan infrastruktur itu diharap terus menjadi pemangkin kepada kemajuan sosioekonomi penduduk, khususnya dalam memperluas akses kepada pasaran, perkhidmatan dan peluang ekonomi di luar kawasan pulau.
Oleh Earl Anek




