KUCHING, 27 Oktober: Sebanyak 21,800 unit bebola terumbu tiruan ditempatkan di perairan Sarawak menerusi Projek Bebola Terumbu Sarawak bagi memulihara ekosistem marin, meningkatkan sumber perikanan dan menyokong pembangunan Ekonomi Biru negeri.
Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) memaklumkan, projek yang dilaksanakan dalam dua fasa itu merupakan inisiatif kerajaan Sarawak untuk melindungi biodiversiti marin serta mewujudkan habitat baharu bagi hidupan laut.
Menurut SFC, pelaksanaan Fasa 1 dari 2018 hingga 2022 melibatkan penempatan 16,800 unit bebola terumbu di sepanjang perairan pesisir pantai dari Tanjung Datu hingga Lawas.
“Pencapaian itu mendapat pengiktirafan Reef Ball Foundation, Amerika Syarikat pada 10 Julai 2023 sebagai rangkaian bebola terumbu terpanjang di dunia, meliputi 746 kilometer pesisir pantai Sarawak,” menurut SFC dalam satu kenyataan.

SFC menjelaskan, Fasa 2 yang berlangsung dari 2023 hingga 2027 melibatkan tambahan 5,000 unit bebola terumbu dengan tumpuan kepada pembangunan ekopelancongan marin, aktiviti memancing rekreasi dan pemulihan terumbu karang.
Katanya, inisiatif itu turut merangkumi pembangunan kawasan selam skuba, peningkatan habitat ikan serta penerokaan tapak perintis pembiakan dan pemulihan karang.
“Bebola terumbu merupakan struktur tiruan berbentuk kubah berongga yang diperbuat daripada konkrit berkeasidan neutral (pH neutral) bagi menyerupai habitat terumbu karang semula jadi.
“Struktur berkenaan menyediakan tempat perlindungan kepada ikan dan hidupan marin lain, selain membolehkan larva karang melekat serta membesar untuk membentuk habitat baharu,” jelasnya.
SFC mengulas lanjut, pemantauan saintifik dan kerjasama strategik akan diteruskan bagi memastikan projek berkenaan memberi manfaat jangka panjang kepada biodiversiti marin, sumber perikanan serta masyarakat setempat.
Projek itu juga merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan Sarawak mengimbangi pemuliharaan sumber marin dengan pembangunan ekonomi mampan.





