SEBUYAU, 27 Oktober: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang remaja lelaki berusia 14 tahun yang dipercayai dibaham buaya ketika memunggah buah kelapa sawit ke dalam perahu di Sungai Plaie Ulu, di sini, masih belum menemukan mangsa sebelum operasi ditangguhkan petang tadi.
Mangsa yang berasal dari Kampung Plaie Ulu, Sebuyau, dilaporkan disambar buaya ketika melakukan kerja-kerja memunggah buah kelapa sawit bersama bapa saudaranya kira-kira 5.30 petang, semalam.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sarawak, operasi SAR hari pertama yang dijalankan hari ini melibatkan pelbagai agensi keselamatan serta penduduk kampung.
Pasukan penyelamat tiba di lokasi kejadian pada 10.10 pagi sebelum operasi pencarian dimulakan pada 10.30 pagi menggunakan empat bot. Operasi itu melibatkan keseluruhan 40 anggota daripada agensi berkaitan dan penduduk kampung.
Pencarian pada sesi pagi meliputi kawasan sejauh kira-kira dua kilometer ke arah hulu dan hilir sungai dari lokasi kejadian.
Operasi disambung semula pada 2.00 petang dengan kawasan pencarian diperluas kepada radius lima kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan disambar buaya.
Bagaimanapun, pencarian yang dijalankan sehingga 4.30 petang masih belum menemukan mangsa atau sebarang petunjuk baharu. Operasi kemudian ditangguhkan dan akan disambung semula esok, bermula 7.00 pagi.
Operasi berkenaan melibatkan anggota JBPM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta penduduk kampung.
Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Snowdan Lawan, turut hadir di lokasi kejadian bagi meninjau perkembangan operasi pencarian.
Insiden itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk setempat, khususnya mereka yang bergantung kepada sungai untuk menjalankan aktiviti harian dan pekerjaan.
Orang ramai, terutama penduduk yang menjalankan aktiviti di sungai berkenaan, dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan mengelakkan kawasan berisiko sementara operasi SAR diteruskan.
Oleh Adi Safarman





