KUCHING, 27 Oktober: Seorang lelaki berusia 61 tahun maut manakala seorang pemandu Perodua Myvi berusia 20 tahun cedera parah dalam kemalangan membabitkan dua kereta di Jalan FAC di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu berkata, pihak polis menerima maklumat mengenai kemalangan itu daripada pusat kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching pada 6.57 pagi.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku kira-kira 6.00 pagi apabila Perodua Myvi yang dipandu lelaki tempatan berusia 20 tahun dalam perjalanan dari Taman Malihah menuju ke Bandar Baru Semariang.
Apabila tiba di lokasi kejadian, pemandu Myvi dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah Perodua Viva yang datang dari arah bertentangan.
Alexson berkata, pemandu Myvi mengalami kecederaan parah pada lutut kanan akibat perlanggaran itu.
Pemandu Perodua Viva, lelaki tempatan berusia 61 tahun, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh penolong pegawai perubatan dari Hospital Umum Sarawak.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat pemanduan melulu atau berbahaya.
Alexson menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati ketika memandu dan memastikan kenderaan berada dalam kawalan.
Beliau turut mengingatkan pemandu supaya mematuhi peraturan jalan raya bagi mengurangkan risiko kemalangan serta mengelakkan kehilangan nyawa.
Oleh Connie Chieng




