KUCHING, 27 Oktober: Sarawak bercadang membangunkan modul pendidikan alam sekitar untuk sekolah dan komuniti bagi meningkatkan pengetahuan serta kesedaran generasi muda terhadap pemuliharaan alam sekitar dan pembangunan mampan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, modul itu akan menggabungkan pengetahuan dan pengalaman antarabangsa dengan kepakaran serta pengetahuan alam sekitar tempatan.
Menurutnya, inisiatif berkenaan dapat menyediakan bahan pembelajaran praktikal kepada pendidik bagi membantu pelajar memahami cabaran alam sekitar dan mengambil tindakan yang bersesuaian.
“Saya amat mengalu-alukan cadangan pembangunan modul pendidikan alam sekitar berdasarkan pengetahuan dan pengalaman yang dikongsikan sepanjang persidangan ini.
“Inisiatif sedemikian dapat menyediakan sumber praktikal kepada pendidik yang menggabungkan perspektif antarabangsa dengan pengetahuan serta pengalaman alam sekitar tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Pendidikan Alam Sekitar (EEC) 2026 di sebuah hotel di sini, hari ini.
Awang Tengah turut menggalakkan delegasi antarabangsa, institusi pendidikan, rakan industri dan agensi berkaitan menyumbang kepakaran masing-masing dalam pembangunan modul berkenaan.
Katanya, teknologi digital termasuk kecerdasan buatan (AI) juga boleh dimanfaatkan bagi memperluas akses kepada bahan pendidikan dan perkongsian pengetahuan tanpa menggantikan pengalaman pembelajaran secara langsung di lapangan.
Beliau turut menekankan kepentingan memastikan pendidikan alam sekitar dapat diakses semua pelajar termasuk mereka yang tinggal di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Sementara itu, EEC 2026 anjuran Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Sarawak menghimpunkan kira-kira 400 peserta termasuk 35 penceramah dan delegasi antarabangsa sepanjang dua hari penganjurannya.
Persidangan bertemakan Memperkasa Generasi Masa Depan Melalui Literasi Alam Sekitar itu menampilkan lima sesi pleno dan dua pembentangan utama oleh wakil Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) serta Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF).
Antara objektif utama persidangan ialah pembangunan modul pendidikan alam sekitar bagi membantu guru dan pengamal pendidikan menerapkan elemen kelestarian dalam aktiviti pembelajaran di sekolah serta komuniti.
Untuk rekod, program Kelab Pencinta Alam Sekitar (PALS) yang diperkenalkan NREB Sarawak pada 1999 kini berkembang daripada 74 kepada 1,011 sekolah setakat September 2026, manakala 455 sekolah lagi belum berdaftar.
Oleh Masrin Affirah





