SFC perkasa ekopelancongan komuniti demi pemuliharaan penyu di Pugu

Facebook
WhatsApp
PROGRAM Pembangunan Produk Ekopelancongan Berasaskan Komuniti dan Peningkatan Kapasiti bagi Pemuliharaan Penyu di Taman Negara Gunung Gading dan Pantai Pugu. Foto: SFC

LUNDU, 27 Oktober: Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) mempergiat usaha pemuliharaan penyu menerusi pembangunan ekopelancongan berasaskan komuniti di Pugu, dengan memberi penekanan kepada peningkatan kemahiran penduduk tempatan serta pengurusan pelancongan yang mampan.

Menurut kenyataan SFC, program Pembangunan Produk Ekopelancongan Berasaskan Komuniti dan Peningkatan Kapasiti bagi Pemuliharaan Penyu itu berlangsung selama dua hari bertempat di Taman Negara Gunung Gading dan Pantai Pugu.

Program berkenaan dilaksanakan menerusi Bahagian Penyelidikan dan Pemuliharaan Fauna – Seksyen Marin SFC dengan sokongan Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) Lundu.

Inisiatif itu bertujuan memperkukuh pengetahuan peserta mengenai pemuliharaan penyu, selain meningkatkan kemahiran sebagai pemandu pelancong serta keupayaan mengurus aktiviti ekopelancongan secara lebih sistematik.

Antara aspek yang diberi tumpuan ialah pemetaan aset, pemantauan penyu dan pengurusan pengunjung bagi memastikan aktiviti pelancongan dapat dilaksanakan secara bertanggungjawab tanpa menjejaskan habitat serta kelangsungan hidupan marin berkenaan.

SFC turut merakamkan penghargaan kepada semua peserta, fasilitator dan agensi sokongan atas kerjasama serta penglibatan aktif dalam menjayakan program tersebut.

Menurut SFC, inisiatif seumpama itu memainkan peranan penting dalam memperkasakan komuniti tempatan supaya dapat mengambil bahagian secara langsung dalam pembangunan ekopelancongan, di samping menyokong usaha pemuliharaan penyu di Sarawak.

Usaha itu juga diharap dapat mewujudkan keseimbangan antara pembangunan ekonomi komuniti dan perlindungan khazanah alam semula jadi untuk dinikmati oleh generasi akan datang.

SFC menegaskan bahawa kerjasama berterusan antara komuniti setempat dan agensi berkaitan amat penting bagi memastikan warisan semula jadi Sarawak terus terpelihara.

Oleh Adi Safarman