TANJUNG MANIS, 26 Oktober: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan mengingatkan rakyat supaya tidak memandang ringan kepentingan perpaduan antara kaum, khususnya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13 ketika pelbagai isu berpotensi timbul menerusi media sosial.
Katanya, perpaduan dan kerjasama antara masyarakat pelbagai kaum merupakan antara asas penting yang membolehkan Sarawak menikmati kemajuan serta perubahan pembangunan sehingga ke hari ini.
“Sarawak tidak dibangunkan oleh satu kaum.
“Sarawak ini dibangunkan dan kita nikmati perubahan seperti apa yang ada pada hari ini disebabkan semua kaum bekerjasama antara satu dengan yang lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Kilang Spun Pile & Pole di Bandar Baru Tanjung Manis, hari ini.
Awang Tengah menegaskan bahawa perpaduan yang telah dibina perlu terus dipelihara kerana keharmonian masyarakat boleh terjejas sekiranya kepentingan kerjasama antara kaum dipandang ringan, terutama ketika menghampiri pilihan raya.
“Saya berharap kita akan terus bekerjasama dan jangan pandang ringan tentang perpaduan ini.
“Ia boleh rosak, apatah lagi masa nak pilihan raya ini. Macam-macam yang akan timbul dalam media sosial,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menyifatkan kestabilan politik di bawah kepimpinan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang diterajui Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sebagai antara perkara penting dalam menentukan hala tuju pembangunan negeri.
Menurutnya, pentadbiran kerajaan negeri memberikan penekanan terhadap prinsip keterangkuman dan kelestarian alam sekitar dalam merancang pembangunan ekonomi yang mengambil kira kepentingan semua kaum serta kesejahteraan masyarakat.
Katanya lagi, usaha meningkatkan ekonomi bukan sahaja perlu memberikan manfaat kepada rakyat pada masa kini, malah turut mengambil kira kepentingan alam sekitar dan kesejahteraan generasi akan datang.
Sehubungan dengan itu, beliau menekankan kepentingan mengekalkan kerjasama masyarakat bagi memastikan perancangan pembangunan yang telah dirangka dapat memberikan manfaat berterusan kepada rakyat.
“Kita mahu melihat masa depan yang lebih baik,” katanya sambil menyuarakan harapan supaya kemajuan yang dinikmati Sarawak pada hari ini dapat diwarisi dan dipertingkatkan untuk generasi seterusnya.
Sementara itu, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dibubarkan berkuat kuasa hari ini selepas mendapat perkenan Yang di-Pertua Negeri bagi membuka laluan kepada PRN Sarawak Ke-13.
Tarikh penamaan calon, pengundian awal dan hari pengundian akan ditentukan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Oleh Earl Anek





