PRN: Pencalonan Roland Sagah bergantung kepada parti

Facebook
WhatsApp
DATO Sri Roland Sagah Wee Inn ketika ditemui media selepas majlis penyerahan Kit STEM Mudah Alih sumbangan PETRONAS di Borneo Empurau Farm & Resort, hari ini. Foto Nadya Victoria

SERIAN, 26 Oktober: Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn menyerahkan kepada kepimpinan parti untuk menentukan pencalonannya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak akan datang.

Beliau berkata, keputusan sama ada beliau akan mempertahankan kerusi berkenaan bergantung kepada Premier Sarawak, yang juga Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

“Jika presiden parti saya mengatakan ya,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Simbolik Penyerahan Kit Sains Sarawak (KITSS) dan Program Jangkauan Sekolah Discover Petronas: Kem Matematik di Borneo Empurau Farm & Resort, di sini, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tarat berkata, dirinya sentiasa bersedia untuk turun padang dan mendekati masyarakat.

Mengulas kemungkinan kemunculan muka baharu yang berminat untuk bertanding, Roland Sagah berkata perkara itu merupakan sebahagian daripada proses demokrasi yang memberi peluang kepada sesiapa sahaja untuk menawarkan diri sebagai calon.

“Ini demokrasi. Sesiapa sahaja boleh bertanding dan menyuarakan pandangan masing-masing. Namun, sama ada pandangan itu bernilai atau tidak, terpulang kepada rakyat untuk menilainya,” ujarnya.

Mengenai tarikh penamaan calon, beliau berkata perkara itu masih belum diketahui kerana keputusan mengenainya terletak di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Oleh Adele Rissa