Wujudkan jawatankuasa khas runding pertambahan kerusi Parlimen Sabah, Sarawak – Mustapha

Facebook
WhatsApp
MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud. Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 26 Oktober: Satu jawatankuasa khas dicadang diwujudkan di bawah Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) berkenaan pertambahan kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud.

Beliau berkata cadangan itu akan dikemukakan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said yang bertanggungjawab dalam hal ehwal undang-undang.

“Sebagai orang Sabah, saya memang mahu supaya akan ada pertambahan kerusi (satu pertiga) untuk Sabah dan Sarawak.

“Kita kena tambah kerana inilah semangat Perlembagaan di bawah MA63, perlu ada representasi yang mencukupi untuk suara Sabah dan Sarawak didengar dalam Dewan ini,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 (Belanjawan 2027) Peringkat Dasar bagi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) di Dewan Rakyat, hari ini.

Berhubung pencapaian MA63, Mustapha berkata Kerajaan MADANI mencatat rekod terbaik dalam menyelesaikan 12 perkara dalam MA63, menjadikan sebanyak 16 perkara dikategorikan telah selesai hingga kini. 

“Hal ini termasuk tiga perkara yang dipersetujui dalam mesyuarat MTPMA63 pada 11 Sept lepas, iaitu obligasi kewangan Persekutuan, pertambahan perjawatan perkhidmatan awam Sabah dan Sarawak serta Borneonisasi perkhidmatan awam Persekutuan di Sabah dan Sarawak.

“Pencapaian itu menunjukkan bahawa rundingan melalui platform rasmi terus menghasilkan kemajuan, bagaimanapun kerajaan memahami bahawa masih terdapat perkara yang perlu diselesaikan dan usaha berkenaan akan diteruskan melalui mekanisme yang telah ditetapkan,” katanya.

Menyentuh tentang garis masa, Mustapha berkata lima perkara berbaki termasuk berkaitan pembayaran royalti minyak perlu diputuskan oleh jawatankuasa tertinggi melibatkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau berkata tarikh mesyuarat jawatankuasa itu tertakluk pada keperluan dan kesesuaian masa antara ketiga-tiga pemimpin tersebut.

“Cadangan berkaitan kadar royalti, pembayaran tunai petroleum dan asas pengiraan hasil tidak boleh dianggap telah dimuktamadkan pada peringkat ini.

“Kerajaan akan meneruskan perbincangan bagi mencari penyelesaian yang selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan kerangka perundangan sedia ada,” katanya. – Bernama