PETRA JAYA, 26 Oktober: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tupong, Datuk Fazzrudin Abdul Rahman menyerahkan sepenuhnya kepada kepimpinan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) untuk menentukan soal pencalonan semula beliau pada Pilihan Raya Negeri Ke-13 (PRN13) Sarawak.
Beliau yang juga Timbalan Setiausaha Agung PBB berkata, beliau bersama seluruh jentera parti di kawasan N6 Tupong akan akur dengan keputusan kepimpinan serta memberikan komitmen penuh dalam menghadapi pilihan raya akan datang.
“Saya menyerah keputusan mengenai pencalonan semula saya dan memberi kepercayaan penuh kepada pimpinan parti berkenaan perkara tersebut. Kami di N6 Tupong akan akur dan memberi komitmen yang sepenuhnya,” katanya.
Perkara itu dinyatakan susulan Mesyuarat PBB Cawangan N6 Tupong yang berlangsung semalam, dengan tumpuan diberikan kepada persiapan organisasi, penyelarasan gerak kerja serta tanggungjawab ahli parti dalam mendekati masyarakat.
Fazzrudin yang juga Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak berkata, sebagai parti tunjang Gabungan Parti Sarawak (GPS), PBB mempunyai tanggungjawab besar dalam memastikan kestabilan politik, kesinambungan pembangunan dan kepentingan rakyat Sarawak terus diberikan keutamaan.
Menurutnya, kekuatan parti bukan hanya bergantung kepada kepimpinan tertinggi, sebaliknya turut ditentukan oleh komitmen serta semangat perjuangan ahli di peringkat akar umbi.
Beliau mengingatkan ahli parti supaya tidak leka atau terlalu selesa, sebaliknya terus turun padang, mendengar suara rakyat dan membuktikan komitmen melalui tindakan serta khidmat yang diberikan.
“Kita tidak boleh leka dan tidak boleh terlalu selesa. Setiap ahli mesti memainkan peranan. Turun padang, dengar suara rakyat dan terus berkhidmat.
“Tidak cukup sekadar bercakap tentang perjuangan, kita mesti buktikan melalui tindakan,” ujarnya.
Mengulas mengenai kepentingan PRN13, Fazzrudin berkata, pilihan raya bukan sekadar menentukan kemenangan seseorang calon, tetapi turut memberi ruang kepada rakyat menilai pencapaian pentadbiran negeri, dasar pembangunan yang dilaksanakan serta hala tuju Sarawak pada masa hadapan.
“Pilihan raya akan datang bukan sekadar tentang siapa yang menang, tetapi tentang masa depan Sarawak yang kita semua sayangi.
“Orang Sarawak ini bijak menilai. Mereka melihat bukan sekadar apa yang kita cakap, tetapi apa yang kita dah buat dan apa yang kita mampu laksanakan untuk masa depan,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa tanggungjawab kepada masyarakat tidak seharusnya bermusim atau hanya diberi perhatian apabila pilihan raya semakin hampir.
Sebaliknya, khidmat kepada rakyat perlu menjadi budaya berterusan, manakala setiap aduan, keperluan dan permasalahan masyarakat perlu sentiasa diberikan perhatian.
“Perjuangan kita bukan hanya untuk hari ini, tetapi untuk memastikan Sarawak yang kita wariskan kepada generasi akan datang lebih maju, makmur dan berdaya saing,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh kepimpinan dan ahli PBB Cawangan N6 Tupong supaya terus memperkukuh perpaduan, memperkemas organisasi serta melaksanakan amanah dengan penuh tanggungjawab.
“Rapatkan saf, perkuatkan organisasi dan teruskan khidmat kepada rakyat. PBB kukuh, Sarawak teguh!” katanya.
Oleh Adi Safarman





