MUKAH, 26 Oktober: Polis Daerah Mukah menahan seorang wanita tempatan berusia 48 tahun yang disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah dalam satu operasi khas di kawasan Pasar Lama Mukah (Dataran Udang), semalam.
Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Muhamad Rizal Alias berkata, tangkapan itu dilakukan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Mukah yang menjalankan Op Tapis Khas kira-kira 4.30 petang.
Beliau berkata, pemeriksaan awal di lokasi tidak menemui sebarang aktiviti menyalahi undang-undang, namun suspek berada dalam keadaan mencurigakan.
“Ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis amfetamin dan syabu,” katanya.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati suspek yang tidak mempunyai pekerjaan itu mengaku mula terlibat dalam penyalahgunaan bahan terlarang berkenaan sejak 2024.
Dalam pada itu, polis turut sedang mengesan sumber bekalan dadah yang diperoleh suspek.
Kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sehubungan itu, pihak polis menyeru orang ramai supaya terus menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti jenayah dadah kepada pihak berkuasa bagi membantu membanteras gejala berkenaan hingga ke akar umbi.
Oleh Adibfahmy





